NAYAN
Yusof (kiri) bersama Nur Asri Nayan mengumpul getah sekerap beku untuk
dijual di Kampung Berona Kiri Dalam, Jeneri, Sik, Kedah, semalam. -
utusan/abd. razak osman
SIK 10 Februari - Penurunan harga getah sejak
kebelakangan ini tidak melemahkan semangat penoreh, termasuk dalam
kalangan warga emas di beberapa kampung di sini yang gigih mengambil
upah dan menjual getah sekerap untuk meningkatkan pendapatan keluarga.
Mereka
menyifatkan pekerjaan itu sebagai mencabar namun mampu meraih
pendapatan agak tinggi apabila getah sekerap dapat dijual pada harga
antara RM2.65 hingga RM2.80 sekilogram (kg).
Nayan
Yusof, 80, dari Kampung Gading berkata, kerja menoreh di kebun getah
perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelak berlakunya kejadian
tidak diingini.
"Banyak
risiko apabila warga emas menoreh getah tetapi saya masih bersemangat
walaupun sesetengah orang tidak sanggup berbuat demikian lagi," katanya
kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya,
beliau perlu keluar rumah selepas Subuh untuk menoreh getah di kebun
seluas lima hektar yang dipawah daripada seorang penduduk Kampung Berona
Kiri Dalam, Jalan Jeneri di sini.
"Pukul 7 pagi, saya sudah berada di kebun, dalam sehari saya mampu menoreh 300 batang pokok getah," katanya.
Menurutnya,
setiap enam hari sekali, dia mampu meraih kira-kira RM600 hasil jualan
getah sekerap beku. Nayan memberitahu, isterinya, Aishah Hashim, 64, dan
anak, Nur Asri Nayan, 42, turut membantu mengutip getah sekerap setelah
kerja menoreh selesai.
Yub
Zamil, 63, dari Kampung Batu 10 Jeniang pula berkata, beliau menoreh
getah yang dipawah daripada seorang penduduk di Kampung Sungai Perahu,
Jalan Bukit Selambau, Sungai Petani.
"Dalam sebulan, saya dapat lebih RM500 tetapi belum pernah mencecah RM1,000.
"Saya hanya mampu menoreh 350 batang pokok getah sehari bermula pukul 7 pagi hingga 11 pagi," jelasnya.
Seorang
lagi penoreh, Ahmad Che Embi, 60, dari Kampung KEDA Jalan Jeneri
memberitahu, dia menoreh 500 batang pokok getah milik seorang penduduk
tidak jauh dari pekan Bukit Selambau.
"Dalam masa sebulan, saya boleh dapat RM1,000. Wang ini digunakan untuk membeli keperluan rumah," katanya.
Sumber: Utusan