Ternakan Lebah Kelulut Jadi Tarikan

Oleh SAFINA RAMLI
29ternakan
RUMAH-RUMAH kecil yang berwarna-warni menarik perhatian pengunjung ke Ladang Madu Kelulut Ori di Kampung Padang Lalang, Alor Janggus.

ALOR SETAR 29 September - Kilometer 8.4, Kampung Padang Lalang, Alor Janggus sebelum ini merupakan laluan biasa yang digunakan oleh pengguna jalan raya yang ingin menuju ke Perlis.

Namun, sejak 24 Julai lalu, kewujudan sebuah ladang ternakan lebah kelulut yang dibina seperti taman fantasi dan penuh warna-warni menjadikan kawasan tersebut istimewa dan mula mendapat perhatian pengguna laluan tersebut.

Sejak beberapa tahun lalu, madu yang dihasilkan lebah kelulut semakin mendapat perhatian daripada pengguna kerana dikatakan khasiatnya lebih tinggi daripada lebah madu.

Menggunakan populariti madu kelulut yang semakin meningkat, Chan Kok Thian, 30, mengambil keputusan untuk membuka sebuah ladang ternakan lebah kelulut yang diberi nama Ladang Madu Kelulut Ori di Kilometer 8.4, Kampung Padang Lalang, Alor Janggus.

Kok Thian berkata, dia sengaja memilih untuk membuka ladang ternakan lebah kelulut di kawasan tersebut dalam usaha menjadikan kawasan Alor Janggus sebagai salah satu destinasi pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke kawasan itu.

Katanya, lokasi Alor Janggus yang terletak kira-kira dua kilometer dari Muzium Padi juga menjadikan dia bertekad untuk membuka ladang ternakan lebah kelulut itu di situ kerana yakin pengunjung yang datang ke Muzium Padi akan singgah ke tempat tersebut.

"Saya sengaja menghias ladang tersebut dengan rumah-rumah kecil berwarna-warni yang merupakan sarang lebah kelulut dan dilengkapi maklumat tentang spesies kelulut yang ada di sini sebagai panduan kepada pengunjung.

"Saya juga hiaskan ladang kelulut ini dengan meletakkan kincir angin yang dibina sendiri, menggunakan bahan terbuang, binaan perigi lama dan pelantar untuk pengunjung bergambar berlatarbelakangkan sawah padi dan Gunung Keriang.

"Sejak dibuka, sambutan daripada pengunjung amat menggalakkan kerana selain melihat sendiri lebah kelulut mereka boleh mendapat ilmu baharu tentang lebah ini," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Kok Thian, antara spesies yang ada di ladang tersebut ialah Heterotrigona Bakeri, Geniotrigona Tho Rocica dan Tetrigona Apicalis.

"Selain menjadi destinasi pelancongan baharu, ladang ini juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk orang ramai mempelajari tentang lebah kelulut dan khasiat madunya," katanya lagi.

Kok Thian memberitahu, selain ladang yang mempunyai lebih 50 sarang kelulut itu, turut disediakan premis jualan madu kelulut dan produk berasaskan madu kelulut seperti kopi madu kelulut, sabun madu kelulut, minyak panas propolis kelulut dan sabun badan madu kelulut menggunakan jenama Dukun Jaya.

"Ramai pengunjung tempatan dan luar Kedah datang berkunjung ke ladang untuk melihat sendiri secara lebih dekat lebah madu kelulut di dalam sarangnya dan secara tidak langsung mempelajari sedikit-sebanyak tentang lebih 10 spesies kelulut di situ," jelasnya.

Tambahnya, khasiat madu kelulut termasuklah meningkatkan metabolisme badan, menjaga kecantikan, menguatkan tenaga wanita yang baru lepas bersalin dan merawat pelbagai penyakit dan kecederaan dalaman.

Sumber : UTUSAN