HENTI GUNA TELEFON BIMBIT DI JALAN RAYA


5HENTI
ALOR SETAR 5 Februari – Sama ada anda memandu kereta, menunggang motosikal atau berjalan kaki, jangan sama sekali menggunakan telefon bimbit ketika berada di jalan raya kerana perbuatan itu boleh mengundang bahaya.
Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Chan Pei Hong berkata, perbuatan itu terlalu berisiko sehingga boleh mendatangkan kecederaan parah atau kematian.
“Kajian mendapati jika kita menggunakan telefon sama ada untuk menghubungi ataupun menghantar mesej kepada seseorang, tumpuan kepada pemanduan akan berkurangan sehingga 50 peratus.
“Jika berlaku sebarang kecemasan, kemampuan kita mengambil tindakan untuk mengelak kemalangan pasti berkurangan. Justeru, dalam apa-apa keadaan sekalipun, tolong­lah jangan gunakan telefon bimbit atau sebarang gajet ketika memandu,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Ba­dan-Badan Bukan Kerajaan ne­geri, Datuk Tajul Urus Mat Zain melancarkan kempen berkenaan.
Sementara itu, Tajul Urus berkata, beliau kesal melihat gelagat segelintir penunggang motosikal sengaja menempah maut apabila menunggang dengan hanya sebelah tangan semata-mata untuk menggunakan telefon bimbit.
“Ada pula yang saya lihat menunggang motosikal dalam ke­adaan ‘mengepit’ telefon bimbit antara bahu dan kepala mereka. Kalau penting sangat panggilan itu, apalah salahnya berhenti sekejap di tepi jalan.
“Kadar kemalangan di negara kita masih tinggi jika dibandingkan de­ngan negara maju dan itu menunjukkan betapa kesedaran kita untuk lebih berhati-hati di jalan raya amat perlu ditingkatkan,” katanya.
Sumber : Utusan