AGIH 10,000 CERMIN MATA PERCUMA


9agih
ALOR SETAR 9 Februari - Kerajaan negeri akan mengagihkan 10,000 cermin mata secara percuma untuk setiap kawasan parlimen bagi dimanfaatkan rakyat negeri ini melakukan urusan seharian.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sumbangan itu diberikan oleh Lim Chamber of Commerce untuk seluruh negara, dan bagi Kedah, sebanyak 150,000 permohonan cermin mata diluluskan.
“Daripada jumlah itu, kita (kerajaan negeri) akan mengagihkan 10,000 cermin mata untuk setiap kawasan parlimen,” katanya pada Majlis Pemberian Cermin Mata Percuma Kepada Rakyat di Simpang Kuala Mall, di sini.
Pada majlis itu, seramai 1,000 penduduk kawasan Simpang Kuala dan penduduk kawasan Parlimen Alor Setar, di sini, menerima bantuan tersebut. Selain bantuan cermin mata, turut disumbangkan ialah beras dan angpau khususnya kepada penduduk berbangsa Cina sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, penerima sumbangan cermin mata itu tidak dihadkan kuantiti ataupun had umur, asalkan ia dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan.
“Walaupun keutamaan diberikan kepada warga emas untuk melakukan urusan seharian terutamanya ketika membaca akhbar, buku dan al-Quran, namun sekiranya ia diperlukan oleh kanak-kanak atau bukan warga emas juga boleh mendapatkannya. Kuantiti tidak dihadkan mengikut keluarga.
“Sesiapa sahaja yang memerlukan boleh datang membuat pemeriksaan mata dan memilih cermin mata bersesuaian mengikut rabun mata masing-masing,” katanya.
Seorang penerima, Ah Kim Seng, 59, berkata, sumbangan tersebut amat bermakna baginya yang mengalami masalah penglihatan atas faktor usia.
“Sumbangan cermin mata ini akan memudahkan saya membaca akhbar setiap hari,” katanya.
Oleh : Gokina Morganan
Sumber : Sinar