HUNGARY-KEDAH KERJASAMA DUA HALA


15hungary
ALOR SETAR 15 Januari - Duta Besar Hungary ke Malaysia, Attila Kali yakin potensi kerjasama antara negaranya dan Malaysia mampu dicapai bagi membangunkan hubungan perdagangan yang lebih kuat khususnya di Kedah.
Menurut Attila, pihaknya melihat peluang yang baik antara Hungary dan Kedah untuk berkerjasama dengan lebih akrab dengan mewujudkan pelaburan dua hala serta pertukaran teknologi khususnya dalam sektor pertanian, pengurusan air, rawatan air sisa dan penyelesaian hijau.
“Tujuan lawatan kerja dua hari ke negeri ini adalah untuk memperkenalkan Hungary kepada kerajaan Kedah dan pemain industri perniagaan. Pada masa sama, kami juga mahu mengetahui keutamaan kerajaan negeri sebelum mengenal pasti peluang kerjasama yang boleh diterokai (antara Hungary dan Kedah).
“Dalam pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sebelum ini, saya telah berkongsi dengan beliau tentang pencapaian Hungary dan perancangan kami untuk mewujudkan hubungan perdagangan dengan Malaysia khususnya Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Forum Perniagaan Kedah–Hungary anjuran Pusat Pelaburan Kedah (Invest Kedah) dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Penasihat Invest Kedah, Datuk Dr. Cheah Soon Hai dan Pengurus Besar Invest Kedah, Nor Ehsan Abdul Aziz.
Terdahulu, Atilla mengadakan kunjungan hormat ke atas Ahmad Bashah dengan diiringi Ketua Pejabat Hal Ehwal Ekonomi Kedutaan Hungary di Kuala Lumpur, Dr. Emilia Fabian.
Attila berkata, penganjuran forum tersebut juga membantu pihaknya untuk mendalami keutamaan Kedah sebelum membawa pelabur dari Hungary khususnya ke negeri ini.
“Secara keseluruhan, saya dapat melihat peluang yang baik untuk mengadakan kerjasama erat antara Hungary dan Kedah terutama berkaitan pertukaran teknologi dan pelaburan dua hala antara kedua-dua pihak.
“Saya akan membantu mempromosikan Kedah kepada pelabur Hungary kerana negeri ini mempunyai potensi tinggi yang mana kedudukannya yang dekat dengan Thailand secara tidak langsung mereka dapat melebarkan pelaburan mereka di rantau ASEAN,” ujarnya.
Dalam pada itu, Attila memberitahu, pihaknya akan menawarkan biasiswa kepada 40 orang pelajar Malaysia untuk menuntut di Hungary yang mana ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negara tersebut.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan