PERTEMUAN BERSAMA KEPIMPINAN KERAJAAN NEGERI


1pertemuan
ALOR SETAR 1 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri perjumpaan tertutup bersama kepimpinan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Beliau hadir pukul 11.05 pagi diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din.
Turut hadir barisan Exco, ketua-ketua jabatan persekutuan dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Utusan Malaysia difahamkan, antara mesej dan penekanan dalam perjumpaan selama satu jam itu adalah perlunya penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di samping melaksanakan agenda pembangunan yang dirancang untuk manfaat rakyat.
Sebaik tamat perjumpaan itu, Perdana Menteri bergerak ke Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini untuk mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 7,000 penjawat awam negeri ini dan pemimpin masyarakat.
Beliau juga dijangka menerima kunjungan hormat Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid Abdul Aziz Al-Faleh di sini petang nanti.
Perdana Menteri melakukan lawatan kerja sehari ke negeri ini dengan menghadiri jadual padat bermula dari pagi hingga malam
Oleh : Zulqurnain Othman
Sumber : Utusan