AKADEMI LEE CHONG WEI DALAM PERBINCANGAN


14akademi
ALOR SETAR 14 November - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini menafikan kerajaan negeri membatalkan cadangan projek menubuhkan Akademi Badminton Lee Chong Wei yang pernah dirancang untuk dibangunkan di Sungai Petani suatu ketika dahulu.
Beliau berkata sebaliknya pembinaan akademi itu masih dalam perbincangan kerajaan negeri dengan pihak swasta yang mengikut perancangan asal akademi itu dirancang untuk dibangunkan di kawasan berkeluasan 60 hektar yang turut merangkumi pembinaan litar lumba.
“Kami sudah menyediakan kawasan seluas 60 hektar dengan lebih kurang 20 hektar daripada ini untuk kegunaan membangunkan akademi badminton tersebut, manakala 20 hektar lagi untuk pembinaan litar lumba manakala baki yang selebihnya bagi kegunaan masa depan.
"Tetapi pembangunan akademi ini, kami masih dalam perbincangan dengan pihak swasta sebab mereka yang akan melabur pagi projek tersebut, " katanya menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (Bersatu-Ayer Hitam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.
Mukhriz ingin tahu sama ada cadangan pembangunan akademi badminton itu dibatalkan.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Belia negeri Datuk Aminuddin Omar berkata kerajaan negeri sentiasa peka dengan pembangunan sukan bagaimanapun perancangan membina stadium di Sungai Petani masih pada peringkat cadangan.
“...untuk keperluan jangka masa panjang yang mengambil kira keperluan semasa, tuntutan pembangunan, perluasan urbanisasi, rungutan penduduk setempat, serta aspek ekologi dan keperluan komuniti,” katanya menjawab soalan Ooi Tze Min (PKR-Bakar Arang).
Ooi ingin tahu sama ada kerajaan negeri ingin membina stadium sukan di Sungai Petani dan bila serta di mana lokasi sekiranya mahu berbuat demikian.
Aminuddin berkata lokasi yang telah dikenal pasti untuk tujuan itu adalah di Lot 25373 Mukim Sungai Petani dan projek pembangunan itu masih pada peringkat reka bentuk oleh kerajaan negeri.
“PLANMalaysia@Kedah telah mengemukakan cadangan kepada pihak kerajaan negeri berkaitan pelan pembangunan kompleks sukan di Sungai Petani yang meliputi cadangan sebuah stadium utama (iaitu untuk kegunaan) bola sepak, olahraga, dan balapan dengan kapasiti tempat duduk 15,000 orang,” katanya.
Sumber : Sinar