TABUNG HAJI ANJUR STEM KELAB TAHA


14tabung
ALOR SETAR 14 Oktober – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) membawa ahli Kelab Tabung Haji (Kelab Taha) menerokai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam usaha mempersiapkan generasi muda untuk mendepani cabaran Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).
Pengurus Kanan Bahagian Khid­mat Pelanggan TH, Noor Azmima Ismail berkata, penganjuran program tersebut adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menarik minat generasi muda menyertai bidang STEM.
Menurut beliau, pihaknya menyasarkan penyertaan 400 peserta dalam penganjuran program STEM Kelab Taha di empat lokasi iaitu Kedah, Selangor, Melaka dan Terengganu.
“Program STEM Kelab Taha ini adalah pertama kali dianjurkan Tabung Haji dalam usaha memupuk pelajar tingkatan satu hingga tiga yang merupakan ahli Kelab Taha untuk meminati bidang sains seterusnya memilih jurusan tersebut selepas menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Program STEM Kelab Taha Pe­ringkat Negeri Kedah kendalian Berkat Minda Resources dengan usaha sama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Utusan Malaysia sebagai rakan media di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Pengarah TH negeri, Muhamad Zaki Baijuri; Pensyarah Kanan UKM, Dr. Mohamad Sattar Rasul dan Pengarah Urusan Berkat Minda Resources, Mahmod Mat Ali.
Kata Noor Azmima, Selangor akan menjadi lokasi kedua penganjuran program tersebut pada 28 Oktober ini diikuti Melaka (6 November) dan Terengganu (11 November).
“Setiap lokasi, kita memberi peluang kepada 100 ahli Kelab Taha untuk menyertai program tersebut. Bagi yang berminat, mereka boleh melayari laman web Tabung Haji untuk maklumat lanjut,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamad Satar berkata, program sehari itu mempunyai tiga fasa iaitu pendedahan STEM, pembinaan ilmu berkaitan konsep Bandar Pintar atau Smart City serta pembangunan projek secara berkumpulan.
Sumber : Utusan