KEDAH TEKAD JULANG PIALA BELIA


15kedah
ALOR SETAR 15 Oktober - Kedah yakin mampu menyekat kemaraan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 dalam perlawanan akhir kedua Piala Belia di Stadium Darul Aman, di sini esok.
Jurulatihnya, Mohamad Ramlee bagaimanapun mengingatkan kesebelasan utama yang diturunkan supaya segera mendapatkan rentak permainan pada minit awal ketika melayan kunjungan pasukan kendalian P. Somasundram itu nanti.
"Bermain di tempat sendiri sudah pasti memberi kelebihan kepada pasukan Kedah dan secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan dalam perlawanan akhir kedua pada malam esok.
"Bagaimanapun, pemain perlu berhati-hati dan tidak mengulang kesilapan dalam perlawanan akhir pertama sebelum ini,” katanya di sini hari ini.
Dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor pada Rabu lalu menyaksikan Kedah tewas 2-3 kepada SSMP B-17.
Sementara itu, Somasundram memberitahu, pihaknya mahu melupakan kejayaan yang diraih ketika aksi akhir pertama sebelum ini malah sudah bersedia dengan strategi dan taktikal baharu bagi menundukkan tuan rumah.
"Tidak dinafikan pasukan bimbangan saya akan mendapat banyak tekanan daripada skuad tuan rumah namun kita telah membuat persediaan untuk menghadapi perkara tersebut termasuk menambah baik kelemahan dalam aksi akhir pertama sebelum ini," ujarnya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan