JKM SUMBANG BANTUAN SEGERA


14JKM
PENDANG 14 Oktober - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah ini menyumbangkan wang RM300 melalui Tabung Bantuan Segera (TBS) kepada pesakit terlantar yang cacat penglihatan akibat penyakit kencing manis di Kampung Pulai, di sini.
Pegawai JKM, Syaffrey Ibrahim berkata, susulan daripada laporan yang disiarkan Sinar Harian 11 Oktober lalu, pihaknya bertindak segera ke rumah pesakit bagi melihat sendiri keadaan.
“Pesakit, Abdullah Awang berusia 81 tahun merupakan seorang warga emas yang uzur dan terlantar disebabkan faktor usia di samping menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, pesakit dan penjaga iaitu anaknya bukan penerima bantuan kewangan JKM.
“Tindakan awal diambil dengan pemberian bantuan kewangan iaitu Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM300 sekali gus.
"Kami juga akan mempertimbangkan bantuan bulanan iaitu Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar (BPT) sebanyak RM300 sebulan atas nama anaknya sebagai penjaga kepada pesakit," katanya.
Sumber : Sinar