AMAL PERLU LAGI RM 9,000


14AMAL
BALING 14 Oktober - Bapa kepada bayi tabung oksigen berusia setahun 10 bulan memerlukan sumbangan tambahan bernilai RM9,000 bagi membeli alat tekanan saluran pernafasan positif berterusan (CPAP) termasuk beberapa kelengkapan lain.
Bapa, Mohd Firol Hissyammudin Husin dari Kampung Padang, di sini, berkata, jumlah itu juga bagi membeli mesin penapis udara dan generator untuk anaknya, Amal Alisya.
"InsyaALLAH anak akan dibawa pulang minggu depan dari Hospital Besar Pulau Pinang. Sekarang dia ada di sana untuk terima rawatan.
"Mesin dan keperluan itu sangat diperlukan sebab anak bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen, tak boleh dibuka langsung," katanya.
Menurutnya, Amal Alisya juga perlu dijaga rapi dalam bilik berasingan memandangkan kanak-kanak itu tidak boleh terdedah dengan udara kotor.
"Untuk itu kami sedang ubah suai sebuah bilik kepada bilik berpendingin hawa.
“Doktor dah maklum yang anak tak boleh langsung kena udara kotor seperti asap. Alhamdulillah, sekarang ni sebuah bilik sedang diubah suai dan hampir siap. Pendingin hawa pun ada seorang hamba ALLAH sumbangkan dari Alor Setar,” katanya.
Untuk sumbangan boleh disalurkan kepada Mohd Firol menerusi Bank Simpanan Nasional di nombor akaun 0200541000151097 atau menerusi CIMB di nombor akaun 7622746912.
Orang ramai juga boleh hubungi keluarga tersebut di talian 019-6201339 atau 011-24224633
Sinar Harian 19 September lalu melaporkan kisah Amal yang alami derita sindrom Kagami Ogata atau masalah paru-paru terpaksa bergantung kepada mesin oksigen sejak lahir.
Sumber : Sinar