JALAN SEKITAR ALOR SETAR DITUTUP


26JALAN
ALOR SETAR 26 Oktober - Beberapa jalan utama di ibu negeri ini akan ditutup bagi memberi laluan kepada tiga acara yang bakal berlangsung serentak, Sabtu ini.
Ketua Polis Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, antara jalan yang terlibat ialah Jalan Gangsa, Jalan Putra, Lebuhraya Darulaman, Jalan Pekan Melayu, Jalan Stadium, Jalan Tun Razak dan Jalan Pegawai.
“Penutupan jalan-jalan itu akan dibuat secara berperingkat bermula pukul 7 malam bagi memberi laluan kepada perarakan tokong sayur Rumah Berhala Tow Boo Keong.
“Selain itu ada dua lagi acara yang melibatkan orang ramai akan berlangsung iaitu perlawanan Liga Super antara Kedah dan JDT serta Festival Makanan Kedah Terbaik yang kedua-duanya berlangsung di Stadium Darul Aman. Justeru kesesakan dijangka akan memuncak apabila perarakan berlangsung serta sewaktu perlawanan bola sepak tamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Untuk tujuan itu jelasnya, kenderaan mereka yang pulang dari menyaksikan perlawanan bola sepak akan dilencongkan ke arah lain supaya tidak masuk ke laluan perarakan.
“Antaranya, kenderaan yang datang dari arah hospital lama menuju ke pusat bandar akan dilencongkan ke arah bulatan Teluk Wan Jah melalui Jalan Langgar untuk menuju terus ke Plaza Tol Alor Setar Utara atau Selatan.
“Bagi kenderaan dari arah bulatan Teluk Wan Jah menuju ke Jalan Stadium pula akan dilencongkan ke lampu isyarat Bakar Bata menuju ke lampu isyarat simpang hospital lama,” katanya.
Tambahnya, seramai 60 anggota dan dua pegawai akan ditugaskan bagi mengawal lalu lintas pada hari tersebut.
“Kesemua mereka akan berada di setiap persimpangan lampu isyarat,” ujarnya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan