PENUHI CITA RASA ANAK MUDA



13penuhi
MERBOK 13 Ogos - Hanya dalam tempoh tidak sampai setahun saja lagi, anak-anak muda di negeri ini sudah boleh mengasah kemahiran sukan berlumba di litar sebenar berbanding secara haram di jalan raya.
Semuanya kerana janji yang ditepati oleh kerajaan negeri yang mentadbir negeri ini.
Pada 10 Ogos lalu, Ahmad Bashah memberi isyarat bahawa litar yang diimpikan sejak sekian lama oleh anak-anak muda di negeri ini, bakal direalisasikan kewujudannya dalam masa terdekat setelah beliau dengan diiri­ngi beberapa Exco mengadakan lawatan tapak ke lokasi pembinaannya di Bandar Amanjaya, dekat sini.
“Litar itu akan dibina di atas ta­nah milik Perbadanan Menteri Besar (MBI). Keluasan tanah itu yang kini dipenuhi dengan tanaman kelapa sawit berkeluasan 60 hektar dan pembinaan litar melibatkan kawasan seluas 40 hektar saja.
“Selebihnya akan disimpan untuk tujuan pembangunan pada masa depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan tersebut.
Ahmad Bashah menambah, bersandarkan penarafan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), litar tersebut dikelaskan sebagai gred D sekali gus menjadikannya cukup sesuai untuk digunakan bagi perlumbaan cub prix.
“Begitu pun, berikutan lebar­nya mencecah 10 meter, litar ter­sebut turut boleh digunakan untuk perlumbaan kereta bagi kategori tertentu. Jika pada suatu ketika ada keperluan untuk menaikkan tarafnya ke gred C atau B, perkara itu tidak akan menjadi susah atau menelan belanja terlalu banyak kerana fasaliti serta reka bentuknya memang dipersiapkan ke arah itu,” katanya.
Kata-kata Ahmad Bashah itu sememangnya bukan omong kosong. Jika ada yang menganggap litar tersebut hanya dibuat sekadar janji politik, persepsi itu perlu dicampak jauh-jauh kerana pembinaannya nanti bakal melayakkannya untuk digelar sebagai kompleks litar sukan bermotor.
Sementara itu, Pengarah Azza Associate Architect, Datuk Ar. Syed Tajul Arif Syed Baharoon yang diberi tanggungjawab untuk mereka bentuk kompleks tersebut berkata, litar berkenaan secara keseluruhannya menepati spesifikasi antarabangsa dengan mempunyai kepanjangan sejauh 1.8 kilometer dan sembilan selekoh.
Katanya, terdapat dua paddock disediakan bagi memberi keselesaan penuh kepada pelumba dan penonton iaitu paddock utama dan paddock sokongan.
“Paddock utama merupakan bangunan dua tingkat yang menempatkan pejabat pengurusan, dewan serbaguna, suit korporat untuk orang kenamaan (VIP) dan pit box selain tempat duduk utama untuk menempatkan seramai 620 penonton.
“Bahagian paddock sokongan pula terbahagi kepada tiga iaitu fasali­ti awam, fasaliti pelumba serta servis dan scutineering. Ke­lebihan yang ada ini mampu menarik pelumba serta penganjur perlumbaan termasuk di peringkat antarabangsa, mengadakan per­lumbaan di sini,” katanya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan