PROGRAM BARAKAH BANTU RAKYAT KEDAH



30program
ALOR SETAR 29 Jun - Umum mengetahui Kedah bukanlah sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian sumber bagi menjana pen­dapatan seperti dinikmati ke­banyakan negeri-negeri lain di Malaysia.
Namun bagi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, rezeki yang ada tetap perlu dikongsi secara adil dan saksama bersama rakyat dalam apa jua bentuk dan cara.
Sehubungan itu, Ahmad Bashah me­ngambil inisiatif me­lancarkan Program Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) selepas dua bulan beliau menerajui kerajaan negeri.
Tegasnya, sehingga kini lebih RM4 juta sudah diperuntukkan bagi membantu puluhan ribu penduduk di negeri ini yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan kelompok masyarakat dalam tempoh setahun ini.
“Setiap tahun kerajaan ne­geri tidak pernah lupa memperuntukkan dana bagi tujuan membantu pihak memerlukan. Sumbangan yang diberi pula dilakukan secara menyeluruh tanpa mengira warna kulit atau parti yang disokong.
“Sebolehnya kami mahu pastikan agar setiap bantuan diagih, sampai terus kepada kumpulan sasar. Disebabkan itu, kami memecahkannya kepada lima kategori iaitu Barakah Insan, Masyarakat, Usaha Niaga, Anak Muda dan Pendidikan serta Mo­dal Insan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Terbaharu menjelang Aidilfitri baru-baru ini, seramai 1,300 individu terdiri daripada golongan fakir miskin, mualaf dan ibu tunggal terpilih menerima bantuan berupa wang tunai dan kuih raya menerusi Program Bantuan Barakah Insan di Seri Mentaloon.
Menjawab tuduhan liar pi­hak tertentu yang mendakwa Barakah hanyalah pemberian kotak makanan dan gula-gula ditabur kepada rakyat untuk membeli undi, Ahmad Bashah pantas menafikannya.
“Pemberian kotak makanan itu cuma 'sekelumit' daripada apa yang kami lakukan secara keseluruhannya dalam program ini. Bagi komponen Barakah Anak Muda sepanjang 2016 dan 2017 contohnya, sebanyak RM2 juta disalurkan bagi skim latihan se­perti program Internship Mahasiswa Anak Negeri Kedah (IMAN), latihan kepimpinan, Kedah Job Fair, selain insentif pe­ngurusan persatuan mahasiswa.
“Usaha menghidupkan semula Sukan Kedah Darul Aman (Sukda) yang kali terakhir diadakan pada 2002 membolehkan 1,500 bakat sukan dicungkil di negeri ini. Demikian juga penubuhan Akademi Datuk Ahmad Basri (ADAB) yang disasarkan untuk melahirkan ramai pemain bola sepak pelapis demi memenuhi tuntutan bahawa sukan telah pun menjadi satu industri kerjaya,” katanya.
Menggelar dirinya sebagai ‘abah' kepada generasi muda di negeri ini, Ahmad Bashah tentu sekali mahu 'anak-anaknya' memperoleh pendidikan terbaik bagi memastikan masa depan mereka lebih bersinar pada masa akan datang.
Justeru, beliau tidak lokek mengeluarkan belanja seba­nyak RM600,000 bagi memberi tuisyen percuma kepada 1,800 pelajar sekolah di negeri ini yang kesemuanya hadir daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Di samping itu, sebanyak 18 sekolah agama rakyat (SAR) yang berdaftar di negeri ini menerima sumbangan berjumlah RM2.1 juta.
“Insya-Allah pembangunan pendidikan anak-anak Kedah akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri pada masa akan datang,” katanya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan