TUKAR SISTEM PAIP AIR LAMA



13tukar
ALOR SETAR 13 Jun - Kerajaan Kedah akan menukar sistem paip air yang sudah lama dan uzur secara berperingkat bagi mengatasi masalah kebocoran yang menyebabkan bekalan air tidak sampai kepada pengguna.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, saluran paip air yang lama dan uzur berpontensi untuk mengalami kebocoran akibat tidak dapat menahan tekanan tinggi air.
Ini menyebabkan air tidak sampai kepada pengguna, kata beliau.
"Pertukaran sistem perpaipan itu akan dijalankan secara serentak dengan projek menaik taraf loji-loji rawatan air, " katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Lima projek tersebut membabitkan Loji Rawatan Air Pelubang, Bukit Selambau (Merbok), Sungai Limau (Baling), Lubuk Buntar Lama dan Loji Rawatan Air Jenun Baru (Yan dan Pendang).
Terdahulu, Ahmad Bashah menyampaikan sumbangan zakat dari pihak Management & Science University (MSU) kepada 1,500 penerima dari Parlimen Alor Setar di Dewan Seri Mentaloon.
Ditanya mengenai tindakan sesetengah pihak pembangkang yang cuba mengambil kesempatan berhubung isu air ini, beliau berkata pihak pembangkang akan sentiasa mencari isu sedangkan kerajaan negeri sudah mempunyai jalan penyelesaian.
"Kerajaan negeri bersama-sama Syarikat Air Darulaman (SADA) Sdn Bhd telah mencari jalan penyelesaian membuat persediaan terbaik berhubung isu air ini.
"Kita turut membekalkan lebih 2,000 tong air berkapasti 900 liter kepada penduduk yang terjejas akibat tekanan air rendah menjelang Aidilfitri ini bagi memastikan bekalan air sentiasa ada," katanya.
Ahmad Bashah berkata pegawai-pegawai SADA juga telah ditempatkan di kawasan kritikal yang mengalami gangguan air selain turut membuka pusat aduan 24 jam bagi membolehkan pengguna membuat aduan dan tindakan oleh pihak SADA secara segera.
Sumber : Sinar