BUAT PERSIAPAN TANGANI MASALAH AIR



13buat
ALOR SETAR 13 Jun - Krisis air yang berlaku di negeri ini menjelang Aidilfitri akan datang dijangka tidak seburuk tahun lalu berikutan persediaan di tahap tertinggi yang dilakukan kerajaan ne­geri dan Syarikat Air Darul Aman (SADA).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, keyakinan itu turut bersandarkan kepada keadaan cuaca yang cukup baik berban­ding tahun lalu di mana bekalan air mentah pada ketika itu berada pada tahap yang rendah kesan daripada fenomena el-Nino.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, SADA telah membuat pelan kontigensi melibatkan 257 kawasan biar pun cuma 226 penempatan yang mengalami masalah itu pada tahun lalu. Selain itu bila­ngan lori air akan turut ditambah kepada 127 berbanding hanya 98 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri taklimat mengenai pelan kontigensi tersebut yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Abdul Ghani Zainuddin di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Menjelang Aidilfitri, penggunaan air dijangka meningkat sehingga lebih 30 peratus bermula sehari sebelum perayaan itu dan diramalkan berlanjutan selama seminggu.
Tambahnya kesemua lori air tersebut akan digerakkan bermula pukul 8 pagi hingga 12 malam dengan hampir 200 kakitangan SADA di bahagian operasi telah pun dibekukan cuti mereka bagi memastikan segala yang dirancang dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, sebanyak lima pam penggalak turut ditambah di kawasan-kawasan tertentu bagi memastikan tekanan air dapat ditingkatkan terutamanya di kawasan-kawasan ‘hujung’ dan tinggi.
“Lima kawasan terbabit adalah Lembah Arang, Bukit Tembaga, Pasir Putih, Perik dan Nako Nambua. Bagi memastikan setiap aduan dapat disampaikan dengan cepat, SADA juga telah bertemu dengan wakil masyarakat di kawasan tertentu sebagai perantara antara syarikat terbabit dengan penduduk sekiranya berlaku masalah terputus bekalan air,” katanya.
Sementara itu, Badrol Hisham turut menempelak sesetengah pihak yang cuba menjadikan isu air sebagai senjata bagi memburuk-burukkan kerajaan negeri.
“Saya tahu ada antara parti pembangkang yang cuba bermain wayang kononnya kerajaan ne­geri gagal dalam menangani isu ini. Hakikatnya sewaktu mereka memerintah negeri ini dulu, keadaannya lebih teruk sedangkan kerajaan negeri sedia ada te­lah banyak melakukan penambah baikan biar pun tidak lagi sepenuhnya dengan bantuan kerajaan pusat,” katanya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan