PELAN TINDAKAN RUMAH BAKAL DILANCAR



10pelan
KUBANG PASU 10 Jun - Kementerian Pertahanan percaya pelancaran Pelan Tindakan Rumah Keluarga Angkatan Tentera pada September ini dijangka menyelesaikan isu perumahan dalam kalangan anggotanya.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya kini memperhalusi maklumat yang diperoleh menerusi makmal perbincangan membabitkan Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pemain industri perumahan.
"Kita serius dalam menyelesaikan isu rumah keluarga angkatan tentera. Ini adalah 'blueprint' yang pertama dihasilkan Kementerian Pertahanan dalam menyediakan kuarters tentera.
"Untuk itu, kita mengadakan makmal perbincangan selama enam minggu yang dianggotai pihak berkepentingan bagi mengkaji kaedah pelaksana, kos serta lain lain keperluan dalam merealisasikan 'blueprint' tersebut.
"Beberapa lokasi dikenal pasti namun jumlah rumah dan kosnya masih perlu diteliti... paling penting, saya perlu menetapkan tempoh pembinaan rumah tersebut," katanya selepas Majlis Ihya Ramadan ATM dan Veteran ATM di Kem Sultan Abdul Halim sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamed Afandi Raja Mohamed Noor; Panglima 6 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin memberitahu, skim baharu untuk anggota ATM tidak berpencen akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Himpunan Raksasa Veteran di Stadium Negara Kuala Lumpur, pada 31 Julai depan.
Katanya, skim tersebut bukan perkara mudah untuk difikirkan tetapi akhirnya kaedah terbaik supaya masalah yang dihadapi veteran tidak berpencen dapat ditangani.
"Skim itu merangkumi penyelesaian holistik, telus dan terbuka dalam usaha menjaga kebajikan mereka.
"Kita ada menubuhkan satu makmal yang dianggotai pihak berkepentingan termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran yang berkurung mencari kaedah terbaik selama enam minggu dan perbincangan mencari kaedah terbaik akhirnya selesai semalam.
"Ia adalah permulaan yang menunjukkan kita serius, telus dan terbuka untuk bela mereka. Bantuan kita ini akan buat apa yang termampu. Bayangkan nak selesai masalah mereka ini dengan ekonomi tidak tentu dan kekangan bajet," ujarnya.
Tambahnya, diharapkan skim yang diumumkan nanti dapat membantu lebih 100,000 veteran tidak berpencen.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan