NAFI BERI BONUS TIGA BULAN GAJI



11nafi
ALOR SETAR 11 Jun - Kerajaan Kedah menafikan pemberian bonus tiga bulan gaji bersempena Hari Raya Aidilfitri kepada 5,000 penjawat awam negeri ini seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyifatkan penyebaran kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan ia tidak lebih untuk memburukkan imej kerajaan negeri yang dipimpinnya.
"Ini tak logik dan tak rasional langsung. Negeri lain pun tak bagi, Selangor pun dua bulan setengah. Mereka yang buat kenyataan ini tidak patut buat dalam bulan puasa ni, Tidak pernah berlaku pun dalam sejarah di Kedah ini (bagi tiga bulan bonus)," katanya kepada pemberita pada program Ihya Ramadan buat balu, anak yatim dan anak istimewa warga polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.
Seramai 109 orang balu, 75 anak yatim dan 36 anak istimewa menerima bungkusan hamper makanan dan duit raya yang disumbangkan Pejabat Menteri Besar Kedah.
Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, setakat ini kerajaan negeri bersetuju memberi bonus RM500 kepada penjawat awam negeri yang akan diumumkan secara rasmi selepas mesyuarat Exco pada 14 Jun ini.
"Kita akan ikut apa yang diumumkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan ikut RM500 dan juga pesara RM250. Apa pun perincian, kita akan umum lepas mesyuarat exco akan datang dan pembayaran akan dibuat sebelum Syawal. Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM2.4 juta bagi menyediakan bantuan hari Raya kepada tok mudim kampung, guru Al-Quran , tukang mandi jenazah, dan bidan kampung," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan meraikan mereka dalam satu majlis berbuka puasa dan setiap daripada mereka akan menerima sumbangan RM200 seorang.
Dalam pada itu, Ahmad Bashah meminta pihak polis agar meningkakan pemantauan dan kawalan terrhadap penjualan dan aktiviti bermain mercun agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.
Sumber : Utusan