72 PETANI MADA TERIMA PAMPASAN



1972
ALOR SETAR 19 Jun - Prihatin dengan kesusahan yang dialami para petani di bawah bimbingannya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) semalam memberikan wang pampasan bernilai RM94,582 kepada 72 petani yang terjejas akibat banjir pada Jun tahun lalu.
Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz berkata, kesemua petani itu merupakan pengusaha kepada 107,971 hektar bendang yang terjejas di Kampung Lemping, Kampung Kubang Pangas dan Kampung Kelonchor dekat sini.
“Banjir itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah dan Anak Bukit bagi mengelakkan berlakunya banjir besar seperti yang pernah terjadi di negeri ini pada 2010.
“Namun dalam masa pembinaannya ini, ada kawasan yang terjejas termasuk tanah-tanah bendang milik petani yang terletak bersebelahan projek tersebut. Justeru, MADA melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memperuntukkan hampir RM95,000 bagi meringankan beban ditanggung mereka yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Moreh MADA Bersama Media di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, di sini hari ini.
Tambahnya, pemberian pampasan itu bergantung kepada keluasan tanah terjejas selain nilai kerugian ditanggung petani akibat bencana tersebut.
“Selain daripada pampapasan tersebut, MADA turut memberikan sumbangan berjumlah RM500,000 kepada kesemua 495 unit lembaga itu di Kedah dan Perlis melibatkan empat wilayah bagi membantu para petani membuat persiapan menyambut syawal de­ngan lebih baik,” katanya.
Sementara itu salah seorang penerima pampasan tersebut, Jasman Mat Noor, 45, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada MADA serta kementerian kerana mengambil peduli terhadap kerugian dialami para petani.
“Bukan hanya memberi pampasan, sebelum ini pun MADA banyak membantu petani terutamanya dari aspek penyaluran air serta nasihat mengenai perkara perlu dilakukan setiap kali tibanya musim menabur.
“Ketika banjir itu berlaku pun, MADA tidak lepas tangan sebaliknya membantu menyelesaikan masalah sejak dari mula banjir berlaku sehingga kepada penyaluran keluar air banjir dari tanah bendang kami. Oleh kerana itu, kami para petani amat berterima kasih kepada mereka,” kata beliau.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan