TUKUN TIRUAN BAKAL DIBINA DI YAN



5tukun
YAN 5 Mei - Jabatan Perikanan Kedah bakal membina tukun tiruan khas buat para nelayan sekitar daerah ini bagi membantu mereka meningkatkan hasil tangkapan di laut.
Ketua Cawangan Pengembangan dan Pemindahan Teknologi Jabatan Perikanan Kedah, Ikhwaty Ibrahim berkata, kali terakhir tukun tiruan dilabuhkan di Yan ialah pada tahun 2002.
"Dengan adanya tukun ini juga, isu pencerobohan dapat diselesaikan kerana bot besar tidak akan masuk ke zon para nelayan pantai ini kerana risau tukun yang dilabuhkan akan menyebabkan pukat tunda mereka tersangkut," katanya.
Katanya, pihaknya akan berusah untuk menjaga sumber pendapatan nelayan pantai sekitar Yan namun masalah kekurangan ikan kembung tidak boleh diselesaikan kerana ia berpunca daripada faktor cuaca.
"Namun begitu, kewujudan tukun tiruan ini nanti dapat menggalakan pembiakan spesis ikan lain yang boleh membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan," katanya.
Menurut Ikhwaty, walau bagaimanapun, pihaknya masih menjalankan kajian tapak di kawasan perairan Yan untuk melihat kesesuaian jenis tukun.
"Namun begitu, kami akan berusaha secepat mungkin bagi membantu para nelayan di kawasan tersebut (Yan).
"Sebelum ini, di daerah Yan, kita menggunakan tukun jenis bot kayu, namun begitu ianya tidak bertahan lama.
"Sebab itu untuk kali ini kita memerlukan sedikit masa untuk mengkaji kesesuaian jenis tukun bagi kawasan Yan.
"Tukun ini kita bukan boleh turun suka-suka ke dalam laut kerana akan menyebabkan berlakunya kes seperti tenggelam dan sebagainya," jelasnya.
Tambahnya, setakat ini jenis tukun tiruan yang dicadangkan ialah jenis konkrit dan kelulu.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Yan, Saidin Kassim berkata, jika benar Jabatan Perikanan Kedah dalam usaha menghasilkan tukun buat para nelayan Yan, ini adalah satu tindakan yang baik.
"Kita berharap agar kesemua nelayan di Yan yang berjumlah 1000 orang mendapat manfaat daripada pembinaan tukun ini," katanya.
"Pembinaan tukun tiruan di perairan Yan nanti akan memberi banyak manfaat kepada nelayan pantai di daerah ini," katanya.
Katanya, pembinaan tukun tiruan ini mampu untuk meningkatkan spesies ikan yang baharu untuk mula berkumpul dan membiak di tukun berkenaan.
"Keadaan ini dapat membantu nelayan meningkatkan sumber pendapatan mereka, Insya-ALLAH," katanya.
Pada 4 Mei lalu, Sinar Harian ada menyiarkan berita berkaitan rintihan para nelayan sekitar Yan ekoran kekurangan hasil tangkapan ikan.
Oleh : Norjuliana Yaacob
Sumber : Sinar