TUISYEN BARAKAH DIPERKASA



4tusyen
ALOR SETAR 4 Mei - Program Tuisyen Barakah yang diperkenalkan kerajaan negeri tahun lepas diperkasakan dari pelbagai aspek dalam usaha memastikan ia terus memanfaatkan lebih ramai pelajar di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, program tuisyen percuma itu diadakan di kesemua 15 Parlimen dengan penambahan 1,200 pelajar berbanding 600 pelajar pada 2016.
Selain itu, katanya, pada tahun ini juga pelajar meliputi peperiksaan awam lain seperti Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berbanding hanya peperiksaan SPM pada tahun lepas.
“Jumlah subjek juga ditambah kepada empat untuk peperiksaan SPM berbanding dua sebelum ini. Manakala untuk UPSR, ia merangkumi keempat-empat subjek.
“Pencapaian cemerlang pelajar Tuisyen Barakah 2016 adalah sesuatu yang amat membanggakan. Seramai 138 pelajar mencapai keputusan minimum 4A dalam peperiksaan SPM yang lalu.
“Keupayaan pelajar Tuisyen Barakah mencapai keputusan sehingga 10A adalah sesuatu yang luar biasa apabila mengambil kira faktor latar belakang keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian da­lam majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Guru Tuisyen Barakah kepada 57 guru dari seluruh negeri di Wisma Darul Aman, di sini semalam.
Katanya, bilangan guru itu bertambah berbanding dengan 30 guru pada tahun lepas berikutan penambahan subjek yang dikendalikan Pusat Tuisyen Ba­rakah.
Menurut Ahmad Bashah, ke­se­mua pelajar adalah dipilih oleh Jabatan Pendidikan negeri dengan cadangan Pejabat Pendidikan daerah.
“Pelajar dipilih adalah terdiri daripada keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 termasuk pelajar dikenal pasti berpotensi dan tidak mempunyai masalah displin,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM355,500 bagi melaksanakan Pusat Tuis­yen Barakah pada tahun ini.
“Dari setahun ke setahun, kita berusaha menambah peruntukan untuk program ini demi memastikan lebih ramai pelajar dapat menyertainya,” katanya.
Tuisyen Barakah merupakan idea Menteri Besar berkenaan yang dijayakan dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah dan Jabatan Pendidikan negeri.
Dalam pada itu, Pengerusi GPMS Kedah, Shamsul Bahar Abd. Rani berkata, Tuisyen Barakah adalah selari perjuangan GPMS Kedah untuk menjadikan Kedah kubu pelajar cemerlang negara.
“GPMS bangga kerana terlibat sama menjayakan agenda pembangunan pendidikan negeri ini dan menyambut baik usaha Kedah mewujudkan Tuisyen Barakah ini,” katanya.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan