PERLU 1800 PAIN DARAH SEBELUM RAMADAN



23perlu
ALOR SETAR 23 Mei - Jabatan Kesihatan Negeri Kedah memerlukan sekurang-kurangnya 1,800 pain darah bagi mengisi simpanan tabung darah sebelum ketibaan bulan Ramadan akhir minggu ini, kata Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail.
Beliau berkata, bekalan darah sebanyak 1,500 pain untuk keperluan semasa masih mencukupi dan permintaan akan memuncak menjelang pertengahan hingga akhir Ramadan ekoran peningkatan kes kemalangan jalan raya apabila orang ramai mula balik ke kampung untuk menyambut Syawal.
"Ini merupakan satu cabaran kepada unit transfusi darah di seluruh negara kerana berdasarkan pengalaman lalu, stok simpanan darah boleh mencapai tahap kritikal kerana peningkatan permintaan darah dari pesakit selain pengurangan aktiviti pendermaan darah dari orang ramai yang berpuasa," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
Justeru, katanya, pihaknya ketika ini sedang mempergiatkan usaha mengumpul stok bekalan darah oleh unit derma darah bergerak dari Jabatan Transfusi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini yang akan menjalankan kempen pendermaan darah di premis-premis yang telah dijadualkan.
"Di samping itu, bagi memudahkan orang ramai menderma darah, unit derma darah bergerak turut dibuka di masjid-masjid dan pusat-pusat membeli belah khususnya pada waktu malam," katanya.
Malah beberapa Pusat Darah Wilayah Utara (PDWU) yang merangkumi hospital-hospital negeri Kedah dan Perlis kini sedang mempergiatkan kempen derma darah di seluruh negeri, katanya.
"Misalnya, Karnival Penyayang Yayasan Sultanah Bahiyah pada 19 dan 20 Mei lalu, PDWU dapat meningkatkan stok bekalan darah dengan berjaya mengumpul 180 pain darah yang didermakan orang ramai daripada pelbagai lapisan umur dan kaum," katanya.
Dalam pada itu, Dr Norhizan berkata, unit tabung darah di HSB, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Hospital Tunku Fauziah, Kangar akan dibuka pada waktu malam pada hari-hari tertentu sepanjang Ramadan ini.
Katanya, pada bulan Ramadan, penderma darah beragama Islam dialu-alukan untuk menderma darah sebelum pukul 12 tengah hari dengan syarat sudah bersahur atau selepas berbuka puasa.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat kempen derma darah melalui laman Facebook 'Derma Darah Kedah/Perlis' atau menghubungi terus talian 04-7746051 (Unit PRO PDWU), HSAH (04-4457371) atau Hospital Kulim (04-4272733 samb 3123).
Sumber : Sinar