INSTITUSI PENGHULU BANTU PEMBANGUNAN KEDAH



18ins
LANGKAWI 18 April - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah mahu institusi penghulu di Kedah membantu menjelaskan perancangan pembangunan di negeri ini, sekali gus menangkis cubaan pihak-pihak yang membangkang usaha kerajaan membawa pembangunan.
Beliau berkata sebagai barisan kepimpinan masyarakat yang rapat dengan rakyat, penghulu mempunyai pengaruh yang dapat membentuk pemikiran penduduk di mukim masing-masing.
"Saya mahu peranan penghulu-penghulu dipertingkatkan dan membantu kerajaan menjelaskan perancangan pembangunan di Kedah," katanya pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) cawangan Kedah kali ke-42 di sini.
Menurutnya kerajaan negeri menghadapi cabaran hebat daripada pihak yang menentang rancangan pembangunan dan rakyat negeri ini akan kerugian jika terjebak dengan agenda pihak berkenaan.
Ahmad Bashah berkata antara strategi kerajaan adalah membuka peluang lebih besar kepada pelabur asing menanam modal di Kedah dan seterusnya merancakkan lagi pembangunan negeri ini.​​​​​
Beliau berkata perancangan seperti ini perlu difahami kepimpinan peringkat penghulu supaya mereka mampu menjelaskannya kepada rakyat di bawah jagaan mereka.
Pada masa sama, katanya, agensi-agensi pelaksanaan kerajaan juga perlu memperluaskan lagi ruang bagi ketua komuniti ini untuk mendapatkan maklumat tentang rancangan pembangunan kerajaan di kawasan mereka.
"Kita semua tidak lagi boleh bergerak secara bersendirian tetapi memerlukan kerjasama dan muafakat bagi menjayakan rancangan pembangunan kita," katanya.
Beliau berkata sebagai antara negeri yang miskin di Malaysia, Kedah memerlukan kepimpinan yang berani untuk membawa perubahan supaya dapat membangun seperti negeri-negeri lain.
"Pada masa sama, perhubungan dengan kerajaan Pusat juga hendaklah sentiasa dijaga kerana usaha kerajaan negeri sahaja tidak cukup untuk melaksanakan pembangunan ini," katanya.
Sumber : Sinar