BIMBING 20,000 USAHAWAN BUMIPUTERA



18bimbing
SUNGAI PETANI 18 April – Sebanyak 20,000 usahawan bumiputera di negeri ini dibim­bing oleh Majlis Ama­nah Rakyat (Mara) melalui pelbagai program, insentif dan pembiayaannya sehingga ada di antara mereka kini mampu meraih pendapatan RM5 juta setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, antara usahawan berjaya di daerah ini termasuk Al-Hadad Marketing Sdn. Bhd, Tekno Logam Sdn. Bhd, Dr. Aishah Solution, Emran Trading Sdn. Bhd, Azla Management Sdn. Bhd, Millenium Battery Sdn. Bhd, Inang Suri Sdn. Bhd, Wafimen Enterprise dan NS Auto SP Enterprise.
“Syarikat-syarikat ini pernah mendapat bimbingan Mara dan ada antara mereka memperoleh pendapatan jutaan ringgit setahun.
“Mereka yang ingin maju dan berjaya, boleh mendapat perkhidmatan Mara, pelbagai produk menarik dikehendaki pengguna boleh dikeluarkan,” katanya selepas merasmikan Hari Pelanggan 2017 di pekarangan Pejabat Mara Daerah Kuala Muda, di sini semalam.
Katanya, usahawan perlu merebut peluang dan ruang yang diberikan kerajaan melalui agensinya seperti Mara untuk mengubah hala tuju perniagaan masing-masing.
“Melalui bimbingan dan tunjuk ajar diberikan itu, sudah ada kalangan usahawan di Kedah menikmati kejayaan dengan pendapatan hampir RM5 juta setahun.
“Apa yang penting, usahawan baharu perlu menerokai ke pasaran lebih besar termasuk ke peringkat antarabangsa tanpa bersikap jemu atau bosan.
“Sehingga tahun lalu sahaja, terdapat lebih 20,000 usahawan di negeri ini bernaung di bawah Mara,” katanya.
Sumber : Utusan