AKAN SELESAI SEBELUM RAMADAN



26akan
TANJUNG DAWAI 26 Mac - Sebanyak 300 buah rumah projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Tanjung Dawai yang dijanjikan kerajaan pada 2012, kini siap sepenuhnya di mana penyerahan kunci pemilikan akan dilakukan sebelum Ramadan nanti oleh perdana menteri.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, projek berkenaan yang mula dibangunkan pada 2013 itu dijadualkan siap pada 2015, namun berlaku kelewatan disebabkan beberapa masalah teknikal termasuk mendapan tanah di kawasan tapak projek.
Bagaimanapun, katanya, semua permasalahan telahpun diatasi dan projek berkenaan yang bertujuan meringankan beban nelayan akan dikenakan bayaran kurang RM150 sebulan selepas dibuat penilaian dan ditolak subsidi oleh kerajaan.
"Sebentar tadi sebelum ke majlis ini saya telah melawat projek PSN Tanjung Dawai. Saya telah diberi taklimat perkembangan projek itu dan saya berbangga untuk memberitahu bahawa projek itu telah siap.
"Walaupun sebelum ini berlaku kelewatan menyiapkan projek atas beberapa masalah, Alhamdulillah akhirnya rumah berkenaan akan dapat diduduki tidak lama lagi," katanya ketika selesai melakukan penyerahan Elaun Sara Hidup Nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.
Difahamkan, projek itu meliputi 300 unit rumah berkembar satu tingkat, empat unit kedai, sebuah surau, sebuah dewan, sebuah tadika, gelanggang futsal, taman permainan dan gelanggang futsal.
"Setakat ini sudah 50 peratus pemohonan sudah diluluskan , ini merupakan janji perdana menteri kepada nelayan Tanjung Dawai," katanya.
2012 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan akan menghadiahkan projek PSN Tanjung Dawai sekiranya Barisan Nasional berjaya menguasai semula Kedah dalam PRU13.
Oleh : Siti Zubaidah Zakaraya
Sumber : Sinar