TIGA NEGARA KAWAL LAUT SULU




    25tiga
    LANGKAWI 25 Mac - Malaysia, Indonesia dan Filipina akan menandatangani satu perjanjian bagi melaksanakan misi bersama dalam usaha mempertingkatkan tahap keselamatan di Laut Sulu.
    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau dan rakan sejawatannya dari Indonesia dan Filipina akan berada di Sabah dalam tempoh terdekat bagi tujuan tersebut.
    “Majlis itu melibatkan perjanjian tiga negara berkenaan dalam melihat keselamatan Laut Sulu yang merupakan inisiatif yang bukan sahaja kita impikan, tetapi kepada tahap operasi seperti rondaan laut bersama dan pemantauan dari udara.
    “Pihak kepemimpinan terting­gi negara telah memberi kita mandat untuk memikirkan usaha baru dalam mempertingkatkan keselamatan Laut Sulu,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas mengambil bahagian dalam majlis Dialog Transformasi Nasional 50 (TN50): Masa Depan Pertahanan Negara di Resort World Langkawi di sini hari ini.
    Yang hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Brigedier Jeneral Khairy Jamaluddin merangkap Komander Rejimen 508 Askar Wataniah; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd. Zain dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamed Afendi Raja Mohd, Noor.
    Dialog tersebut merupakan salah satu acara yang diadakan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA ‘17) yang berakhir hari ini selepas dibuka kepada pelawat perdagangan dan awam sejak Selasa lalu.
    Sebanyak 600 pelajar yang menyertai pasukan seragam di institusi pe­­nga­jian ting­­­gi seper­ti­ Pasukan La­tihan Pe­­­gawai Sim­panan (Pa­lapes) Uni­­versiti Awam ter­ma­­suk pelajar­ Univer­siti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) me­ngambil bahagian dalam dialog ter­sebut.
    Hishammuddin berkata, inisiatif keselamatan di Laut Sulu bukan sahaja bertujuan mahu mengekang kes penculikan oleh pengganas Abu Sayyaf di perairan tersebut tetapi yang lebih pen­ting, bagi menyekat kumpulan militan Daesh di rantau ini.
    Beliau berkata, gabungan pa­sukan keselamatan tiga negara itu dalam inisiatif Laut Sulu mampu mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan ber­kenaan.
    “Ini penting kerana pengganas Abu Sayyaf telah berbaiah dengan militan Daesh dalam mengembangkan pengaruh me­reka,” ujarnya.
    Keadaan itu katanya, boleh mengancam keselamatan negara-negara di rantau ini dan bagi Malaysia, Sabah adalah negeri yang paling hampir dengan ancaman daripada pengganas Abu Sayyaf.
    Sumber : Utusan