ADIK TABAH JAGA ADIK BERADIK, IBU



29adik
BALING 29 Mac - Seorang adik sanggup berkorban masa dan tenaga bagi menjaga abang serta kakaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) termasuk seorang ibu yang uzur.
Zainaf Omar, 55, dari Kampung Seberang Pekan berkata, dia tabah dan setia menguruskan kakak sulungnya, Maimunah, 62, abang ketiga, Mansor, 56, yang hanya mampu mengengsot serta ibu, Som Itam, 84, akibat sakit tua.
"Mansor tak boleh berjalan selepas jatuh di sekolah masa 9 tahun. Maimunah pula pernah demam panas dan tiba-tiba hilang keupayaan bergerak selepas berusia 25 tahun," katanya.
Menurutnya, keadaan kesihatan kedua-dua OKU berkenaan semakin merosot sejak empat tahun lalu.
“Sebelum ini walaupun mengesot, kedua-duanya masih boleh makan dan minum seperti biasa, namun sejak empat tahun lalu, abang dan kakak terpaksa disuap dan diuruskan termasuk membersihkan najis,” katanya.
Zainaf berkata, Maimunah mengidap masalah jantung dan darah tinggi manakala Mansor masalah mental.
“Kedua-duanya perlu bergantung kepada ubat-ubatan daripada hospital setiap masa, tiga bulan sekali perlu dibawa jumpa doktor untuk rawatan
“Ubat perlu diambil setiap masa dan langsung tak boleh tinggal, sebelum ini Mansor terpaksa dikurung dalam bilik, namun dua bulan lalu keadaan mentalnya makin pulih,” katanya.
Bagaimanapun katanya, Mansor masih perlu dipantau rapi dan perlu dikurung sekiranya bertindak agresif.
Zainaf berkata, selain menguruskan makan minum dan perubatan, dia juga berdepan pelbagai karenah.
“Kadang-kadang Maimunah dan Mansor bertengkar sesama sendiri. Mereka buang najis di ruang tamu dan saya terpaksa bersihkan,” katanya
Difahamkan, penjagaan Maimunah dan Mansor bergantung kepada bantuan bulanan RM300 setiap seorang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling .
Som Itam yang merupakan ibu tunggal menerima RM600 setahun daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Cawangan Baling.
“Tanpa bantuan memang sukar sebab saya tidak ada pekerjaan tetap dan masih menanggung dua anak berusia 21 serta 25 yang belum berkahwin.
“Kami tujuh beradik, abang, kakak termasuk adik nombor enam yang bisu turut membantu, tetapi masing-masing ada tanggungan sendiri,” katanya .
Terdahulu, wakil Pejabat Dun Bayu, Jhangir Khan Kathem Khan menziarahi keluarga itu semalam.Keluarganya turut dapat perhatian Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Untuk bantuan boleh hubungi Zainaf di talian 017-4938553.
Sumber : Sinar