CADANG BINA MUZIUM ISLAM



27cadang
ALOR SETAR 27 Mac - Kerajaan negeri bercadang mewujudkan Muzium Islam negeri Kedah bagi mempamerkan artifak serta monumen berkaitan Islam di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco akan datang kerana selain menelan belanja yang besar, artifak yang mencukupi juga perlu dikumpulkan sebelum dipamer kepada awam.
"Ia bukan mudah kerana kita kena tahu apa barangan yang kita kena kutip sama ada daripada penduduk negeri ini, kerana ada yang patut kita beli dan ada yang perlu kita minta pihak swasta membantu malah kita perlu bertanggungjawab terhadap barangan tersebut," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Pameran Pendidikan Tamadun Islam Mendahului Zaman: Artifak Rasulullah S.A.W dan para sahabat di Muzium negeri di sini, hari ini.
Ahmad Bashah berkata, dengan kewujudan Muzium Islam Kedah ia akan menjadi daya tarikan terbaru negeri Kedah selain menyediakan platform terbaik bagi para pelajar mengenali sejarah Islam lebih dekat.
"Saya mengambil contoh, Muzium Padi yang mempunyai barangan dan peralatan menanam padi yang tidak ada pada masa kini untuk tontonan umum," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pihak menganjurkan pameran ketamadunan bagi mendedahkan kepada pelajar tentang tamadun-tamadun yang ada di dunia sebelum ini.
"Saya juga mempelawa mana-mana pihak untuk mempamerkan tamadun China dan India di sini bagi memberi pengetahuan sejarah secara lebih dekat dan mendalam kepada pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum," katanya.
Pameran Pendidikan Tamadun Islam yang bermula 20 Mac hingga 19 April depan menghimpunkan 27 artifak bernilai tinggi tinggalan Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya.
Antara yang dipamerkan ialah penutup makam Rasulullah, capal, cop mohor, tapak kaki, serban, rambut, janggut, darah bekam Rasulullah, tapak kaki, kunci pintu Kaabah dan pedang para sahabat Rasulullah.
Sehingga hari ini, seramai 18,000 orang telah berkunjung ke Muzium negeri sejak ia dibuka tujuh hari lalu.
Sumber : Sinar