PERTOLONGAN TANPA DISEDARI



6pertolongan
SUNGAI PETANI 6 Februari – Dua bangunan Maahad Al Iman Li Ulumil Quran, Pantai Cicar, Kuala Ketil kini sudah dalam pembinaan selepas menerima dana daripada pelbagai pihak.
Mudir dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan, Amri Mohd Nason berkata, ia bagaikan mimpi apabila bangunan yang bakal menempatkan pelajar-pelajar maahad itu bakal siap tidak lama lagi.
Menurutnya, maahad itu dibangunkan olehnya bersama empat adik beradik yang lain setelah ditawarkan seorang hamba ALLAH yang ingin mewakafkan tanah miliknya untuk tujuan pendidikan maahad.
"Saya dan abang serta adik, Amir, 38, Azli, 37, Aswad, 35 dan Muhammad Ariff, 33, berusaha keras mengumpul dana membina maahad ini dengan bantuan pelbagai pihak termasuk Econsave dan Sinar Harian," katanya.
Amri ditemui semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Pembangunan & Pentadbiran Maahad Al Iman Li Ulumil Quran yang berlangsung di Econsave Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, semalam.
Katanya, selepas perbincangan dilakukan antara Econsave melalui projek ‘Econsave Prihatin’ dan Sinar Harian tahun lalu, satu kerjasama termeterai bagi tujuan mengumpul dana.
“Sejak kali pertama berita mengenai maahad tersiar di akhbar Sinar Harian, kami menerima respons positif daripada orang ramai sehinggakan bantuan disalurkan amat luar biasa.
“Awal September 2016, kami meninjau tapak lokasi dan dalam tempoh sebulan sahaja, kerja-kerja pembinaan berjalan lancar menggunakan dana terkumpul dari orang ramai yang disalurkan selepas disiarkan Sinar Harian," katanya.
Amri berkata, dalam tempoh tiga bulan, Oktober hingga Januari 2017, dua bangunan asrama didirikan untuk asrama lelaki dan perempuan.
“Semua pertolongan datangnya dari ALLAH SWT tanpa kami sedari, ramai pihak telah buka mata ingin menyumbang melalui sebarang bentuk bantuan, termasuklah bantuan kontraktor yang melukis pelan secara percuma,” katanya.
Kumpul dana bina kompleks maahad
Difahamkan, proses mengumpul dana akan terus dipergiatkan bagi menyiapkan kompleks maahad dengan pelbagai kemudahan lain yang dirancang antaranya kuarters guru, surau dan bangunan kelas yang dianggarkan mencecah RM2.5 juta.
“Diharapkan, bulan ini kita akan mulakan pembinaan surau yang dijangka dapat disiapkan Mei nanti untuk persiapan bertarawih dan memulakan pengajian,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, Amri menerima replika cek berjumlah RM17,190 yang disampaikan Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor bersama Ketua Wartawan Sinar Harian Utara, Roslinda Hashim.
Sementara itu, pasangan bekas guru, Salmah Hashim, 64, dan suami, Mohd Nason Mohd Noh, 66, bersyukur apabila impian lima dari tujuh anak mereka ingin membangunkan maahad menjadi kenyataan.
“Rasa syukur sangat sehingga nak mengalir air mata kerana cita-cita mereka nak buka maahad terlaksana walaupun pada peringkat permulaan agak mustahil dengan kemampuan masing-masing, namun berkat dan usaha semua pihak akhirnya berjaya,” jelas Salmah.
Sebagai pelanggan Econsave, Salmah tidak menyangka pasar raya itu yang sering dikunjungi untuk membeli-belah menjadi pencetus kepada usaha menganjurkan Karnival Econsave BPJ Mega Gathering/Autoshow & Jualan Amal Kumpul Dana Maahad Al Iman Disember lalu.
Usaha sama ketiga bersama Sinar Harian
Dalam pada itu, Zamzuri berkata, ini merupakan usaha sama ketiga antara Econsave dan Sinar Harian melalui Econsave Sinar Di Hati sejak Januari 2016.
“Sebelum ini, kita berjaya anjurkan program di Merbok dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Tanjung Dawai melibatkan 150 penerima terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya.
“Kali kedua, ialah Jualan Amal Econsave Raja Uda sehingga berjaya mengumpul dana sejumlah RM10,000 yang diserahkan untuk pembangunan Madrasah Nagore, Butterworth.
“Untuk hari ini, kita lelong lebih 50,000 pakaian terpakai dan membida barangan sumbangan di mana hasilnya disumbangkan kepada Maahad Al Iman di mana jumlah dana terkumpul ialah sebanyak RM17,190,” katanya.
Zamzuri berkata, projek berkenaan turut mendapat usaha sama Skuad Muda 1JPJ Kedah, Northern Versys Owner Group, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Bandar Puteri Jaya, Pertubuhan Hati Emas Kuala Muda dan Persatuan Peniaga Kecil Melayu Kuala Muda.
Dalam pada itu, Roslinda berkata, pihaknya menghargai usaha Econsave yang sedia menjalinkan kerjasama bagi menjalankan aktiviti amal dalam membantu golongan memerlukan.
“Kita alu-alukan lebih ramai badan bukan kerajaan (NGO) turut serta dalam projek seumpama ini yang akan dianjurkan dari masa ke semasa,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 5521 8951 5745
Sumber : Sinar