NEKAD DUDUK RUMAH TANPA CF



8nekad
SUNGAI PETANI 8 Januari - Penantian 25 tahun bagi mendapatkan sijil layak menduduki (CF) rumah yang dibeli oleh 400 penduduk di Taman Seri Pinang, Jalan Tikam Batu di sini akhirnya berhasil.
Difahamkan, penduduk di taman berkenaan nekad untuk tinggal di taman perumahan tersebut pada 1988 walaupun rumah didiami tiada CF kerana pelbagai masalah.
Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 22 daerah Kuala Muda, Ismail Md. Isa, 61, berkata, penduduk terpaksa menanggung kerugian apabila pemaju kawasan rumah berkenaan dikatakan gagal menyiapkan sepenuhnya rumah mereka.
“Bila pemaju lari, pelbagai masalah timbul dan penduduk bagaikan berada dalam kebimbangan setiap masa kerana rumah didiami tanpa CF.
“Namun kini semua berakhir apabila rumah berkenaan sudah mendapat CF,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Penyerahan CF Kepada Pemilik Yang Layak di Taman Seri Pinang di sini, baru-baru ini.
Seorang peniaga, Sazali Awang, 59, berkata, 25 tahun adalah satu masa pa­ling lama bagi mendapatkan CF rumahnya namun dia bersyukur kerana penantian itu berakhir juga.
“Banyak perkara penting tidak dapat disediakan bila penghuni tinggal di kawasan perumahan tanpa CF.
“Sekarang saya amat gembira sekali kerana pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) mula memberi perhatian serius untuk memperelokkan keadaan kawasan persekitaran rumah penduduk di taman ini,” kata­nya.
Timbalan Ketua UMNO Cawa­ngan Taman Seri Pinang, Abdul Mutalib Abd. Rashid, 44, pula berkata, pelbagai kegiatan yang boleh memberi manfaat dalam kalangan penduduk akan dilaksanakan nanti.
Terdahulu, Yang Dipertua MPSP, Abd. Rashid Othman ketika berucap dalam majlis itu berkata, CF adalah satu dokumen yang penting dan beliau berharap tidak ada penduduk yang terus mengambil kesempatan dengan menjual rumah mereka.
“Jika penghuni rumah hendak buat sesuatu, termasuk ubah suai hendaklah mengikut peraturan dan undang-undang manakala cukai pintu perlu dibayar supaya banyak lagi kemudahan asas dapat dilaksanakan nanti,” katanya.
Oleh : Abd Razak Osman
Sumber : Utusan