SANGKAL DAKWAAN HADIS PALSU




    8sangkal
    ALOR SETAR 8 Januari - Dakwaan kebanyakan sekolah pondok menggunakan kitab agama yang mengandungi hadis palsu adalah suatu tuduhan melampau yang boleh merosakkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan menjejaskan kemuliaan institusi pondok, seterusnya memporak perandakan umat Islam.
    Pengerusi Pertubuhan Jemaah Pondok-Pondok Negeri Kedah, Ustaz Sabri Osman berkata, jangan ada golongan cerdik pandai yang cuba membuat andaian di luar ketetapan ulama.
    “Tidak ada hadis palsu dalam kitab yang digunakan di sekolah pondok sebagai rujukan, antaranya Matla’al Badrayn , Ihya Ulum al-Din, Jauharul Mauhub. Ini satu tuduhan semata-mata kerana kitab berkenaan diguna pakai di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara termasuk dunia,” katanya.
    Menurutnya, kesemua kitab yang dijadikan rujukan digunakan sejak dahulu hingga kini.
    “Kitab berbahasa jawi yang diterjemahkan itu diambil dari kitab-kitab muktabar, iaitu kitab yang diperakui seluruh dunia dan tidak perlu dikaji semula. Malah tidak pernah ada kitab yang diterjemah secara silap kerana penelitian begitu tinggi, kesalahan serta merta diperbetulkan walau satu huruf sekalipun,” katanya.
    Ustaz Sabri berkata, individu yang membuat dakwaan itu wajar membuat kajian lebih mendalam selain merujuk kepada ulama berkaitan, sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati umat Islam.
    “Menurut ulama ASWJ, kitab Al-Jauharul Mauhub bagi Al-Alim Al-Allamah Syeikh Ali Abd Rahman Al Kelantani diterjemah dari kitab Lubabul Hadis karangan Syeikh Al-Alim Al-Allamah Jalaluddin Abd Rahman Assayuti, di mana beliau seorang ulama ASWJ dan kitabnya diguna di sekolah pondok seluruh Nusantara,” katanya.
    Ustaz Sabri tegaskan, kitab terbabit tidak mengandungi hadis palsu walaupun di dalam kitab itu adanya hadis dhaif, di mana digunakan untuk beramal bukan dibuat hukum.
    “Hanya hadis sahih boleh dijadikan panduan hukum. Mereka yang anggap hadis dhaif itu hadis palsu ialah mereka yang tergelincir daripada ijmak ulama dan ahli sunnah, jangan terpengaruh. Tiada kitab bahasa Arab atau jawi diguna untuk beramal di pondok, masjid termasuk di Thailand dan Indonesia. Kita hanya rujuk hadis sahih, hasan dan dhaif,” katanya.
    Menurutnya, walaupun tidak dinafikan wujud iktilaf di sisi ulama, di mana ada yang mengatakan hadis dhaif dan sebahagian palsu, kita tidak boleh meletakkan hukumnya adalah palsu.
    Sumber : Sinar