200 SERTAI KHATAN PERDANA MPSP



5sertai
SUNGAI PETANI 5 Disember - Seramai 200 kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun menyertai program Khatan Perdana 2016 yang pertama kali dianjurkan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, penganjuran program membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu diteruskan bagi mengeratkan hubungan dengan anggota masyarakat.
“Amalan berkhatan beramai-ramai yang bagaikan telah menjadi tradisi dalam kalangan orang Melayu terutamanya ketika cuti sekolah ini perlu dikekalkan ke­rana program tersebut terbukti mampu mengeratkan hubungan antara anggota masyarakat.
“Penganjuran program ini me­rupakan salah satu cara untuk PBT mendekati masyarkat setem­pat. Oleh itu, saya berharap penganjuran program oleh MPSP ini dapat dicontohi PBT di daerah lain,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Muda, Md. Nordin Yahya dan Yang Dipertua MPSP, Abd. Rashid Othman.
Program anjuran MPSP itu turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda, Majlis Belia Kuala Muda, Gerakan Belia 4B Kuala Muda dan Sungai Petani Inn.
Menurut Badrul Hisham, pe­nganjuran program yang membabitkan komuniti itu juga sudah pasti dapat menjimatkan kos selain dapat mengembalikan nostalgia bagi golongan tua yang telah melalui peristiwa serupa pada zaman kanak-kanak.
“Kebanyakan mereka yang menyertai program ini adalah anak-anak yang datang daripada keluarga susah. Jadi dengan menyertai program ini secara percuma, sudah tentu keluarga tersebut dapat berjimat RM150 (kos berkhatan).
“Dengan wang yang dijimatkan itu, keluarga terlibat dengan program ini boleh membeli barang-barang keperluan buat anak-anak mereka yang akan memulakan sesi persekolahan baharu pada bulan depan,” ujarnya.
Oleh : Abd Razak Osman
Sumber : Utusan