IMPIAN JADI PENSYARAH TERHALANG



7impian
SUNGAI PETANI 7 Disember - Hasrat seorang graduan Malaysia kategori orang kurang upaya (OKU) yang cemerlang di Universiti Yarmouk (UY), Jordan mencapai cita-cita sebagai pensyarah terhalang apabila dia kekurangan wang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi.
Nor Shahida Mohd Shaker, 24, berkata, dia merupakan anak kedua daripada tiga beradik tinggal bersama ibunya seorang pekerja kilang di Taman Ria Jaya dengan pendapatan hanya RM700 sebulan.
"Ibu menyara saya dan adik lelaki yang baru saja menamatkan pengajian tingkatan enam minggu lalu di sebuah sekolah di Baling.
"Kakak pula seorang jururawat di sebuah hospital swasta dan dah berkahwin," katanya.
Nor Shahida berkata, dia kini sedang mencari peluang pekerjaan dalam bidang akademik dalam mencapai impian menjadi seorang pensyarah.
“Selepas saya balik ke Malaysia pada 6 September lalu, saya memohon untuk lanjutkan pengajian ijazah sarjana dalam komunikasi Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan berjaya mendapat surat tawaran pada 24 Oktober lalu.
“Akibat tidak berkemampuan untuk membayar yuran pendahuluan, saya terpaksa menangguhkan hasrat untuk melanjutkan pengajian. Sekarang, saya sedang mencari apa-apa kerja sambilan berkaitan pengajian Bahasa Arab walaupun bukan sebagai guru,” katanya.
Sebelum ini, Nor Shahida mendapat pinjaman pendidikan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) di dalam proses penukaran daripada pinjaman kepada biasiswa ekoran keputusan cemerlang yang diperolehnya.
Katanya, beliau berjanji tidak akan mensia-siakan harapan mana-mana penaja dengan mendapat keputusan yang cemerlang sekiranya ada pihak yang sudi menaja keseluruhan kos pengajian ijazah sarjananya.
“Ikutkan saya, memang saya nak sambung belajar sehingga Ijazah kedoktoran sekiranya tiada kekangan kewangan,” katanya.
Tambahnya, dia berjaya menjadi satu-satunya pelajar Malaysia mendapat pangkat cemerlang dengan markah yang tertinggi (85.6 peratus) bersamaan (3.92) Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sepanjang pengajian empat tahun Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan.
Nor Shahida yang merupakan OKU berstatus ketidakupayaan fizikal tanpa empat jari pada bahagian tangan kirinya sejak lahir tidak menjadikan kekurangan pada anggota badan sebagai alasan untuk berjaya dalam bidang akademik yang difikirkan satu-satunya jalan untuk mengubah nasib keluarga dan dirinya pada masa depan.
Walaupun ada individu sentiasa ragu-ragu terhadap kebolehan dan keupayaan dirinya dari semasa ke semasa, beliau sentiasa kuatkan semangat dan membuktikan menerusi kejayaan akademi diperoleh dalam semua peperiksaan awam didudukinya.
Sekiranya ada mana-mana pihak atau institusi yang memerlukan khidmatnya sebagai tenaga pengajar Bahasa Arab atau ingin menawarkan sebarang pekerjaan yang berkaitan Bahasa Arab kepadanya boleh hubungi di talian 011-26969434.
Oleh : Gokina Morganan
Sumber : Sinar