200 MINYAK ENJIN MOTOSIKAL PERCUMA



10minyak
JITRA 10 Disember – Penganjuran Pesta Orkid dan Flora yang berlangsung di pekarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh, di sini, buat julung kalinya menawarkan pemberian minyak enjin motosikal percuma kepada 200 pengunjung bertuah.
Pengarah Urusan BMC Venture, Syed Mohd Asri Syed Mothar berkata, penembusan baucar itu boleh didapati sepanjang program berlangsung bermula hari ini hingga 18 Disember.
Beliau berkata, ia merupakan kaedah baru yang dilaksanakan penganjur untuk menarik lebih ramai pengunjung ke program berkenaan.
“Ini kali pertama kita menawarkan pemberian baucar tukar minyak enjin motosikal secara percuma kepada 200 pengunjung pertama.
“Untuk mendapatkan baucar itu, pengunjung hendaklah berbelanja sekurangnya RM50 di Pesta Orkid dan Flora sebelum boleh menembus baucar tersebut,” katanya.
Menurutnya, pendekatan terbaru itu diharapkan dapat menarik lebih ramai pengunjung ke program berkenaan yang berlangsung selama 10 hari.
“Ini kali keempat kita menganjurkan pesta orkid di pekarangan RTC Napoh, khusus untuk peminat orkid yang sentiasa menantikan kemunculannya di kawasan ini yang juga berdekatan dengan pintu sempadan antara Malaysia dan Thailand.
“Tujuan kita adalah untuk memberi peluang kepada semua pengusaha dan peminat orkid berkongsi pandangan mengenai tanaman orkid berkenaan,” katanya.
Syed Mohd Asri berkata, penganjuran program pada kali ini juga menampilkan pelbagai spesies orkid baru dari Jepun dan Taiwan, termasuk pokok herba yang mampu merawat pelbagai jenis penyakit.
“Spesies orkid dari Jepun dan Taiwan ini merupakan antara orkid yang sukar dijumpai berbanding beberapa orkid lain yang berada jauh lebih tinggi di atas gunung,” katanya.
Selain itu, orang ramai juga berpeluang memiliki pokok Kamunting China yang menghasilkan 18 pilihan warna semula jadi untuk dijadikan sebagai perhiasan di halaman rumah.
“Pokok Kamunting China khusus yang berwarna putih sebenarnya boleh mengubati penyakit kanser leukemia. Ramai yang tidak tahu mengenai perkara ini.
“Begitu juga dengan pokok limau kastura batik yang berada dari Taiwan, sesetengah orang memanggilnya sebagai limau kasturi tembikai. Ia juga mempunyai vitamin C paling tinggi,” katanya.
Selain gerai pameran dan jualan, pengunjung juga berpeluang mendapatkan hadiah cabutan bertuah apabila berbelanja di sepanjang program berlangsung.
“Datanglah beramai-ramai ke Pesta Orkid dan Flora kerana harga yang ditawarkan adalah potongan harga istimewa untuk pelbagai jenis barangan sehingga 18 Disember,” katanya.
Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
Sumber : Sinar