REMAJA TERLANTAR SEJAK 20 TAHUN LALU



23remaja
KOTA KUALA MUDA 23 November - Seorang remaja dari Kampung Sungai Deraka, di sini terpaksa menghabiskan usianya dengan hanya berbaring sejak 20 tahun lalu akibat terlantar berikutan masalah pendarahan di kepala.
Ibunya, Che Rohyaha Manap, 58, berkata, apabila kehamilan mencecah usia tiga bulan, dia merasakan sesuatu yang luar biasa berikutan kandungannya amat berat.
"Kemudian, apabila usia kandungan mencecah enam bulan, doktor mengesahkan saya mengandung anak kembar selepas ujian imbasan dilakukan, bagaimanapun perasaan mengandung kali ini amat berbeza biarpun sudah mempunyai lima anak sebelum itu," katanya.
Menurutnya, kedua-dua anak kembar dilahirkan tidak cukup matang iaitu ketika kandungan mencecah lebih 28 minggu.
Anak kembarnya, Shamrin Ahmad, 21, dilahirkan pada 1 Disember 1995 dengan berat hanya 1.3 kilogram manakala seorang lagi, Shamil hanya seberat 850 gram.
"Masa tu hanya tuhan yang tahu perasaan kami, pelbagai usaha dilakukan bagi menyelamatkan mereka namun Alhamdulillah mereka dipanjangkan umur sehingga ke hari ini," katanya.
Pada peringkat awal, doktor menjangkakan Shamil perlu berjuang untuk hidup bagi mengatasi pelbagai komplikasi namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila dia sihat sehingga kini menjadi remaja yang normal.
Abangnya, Shamrin pula berdepan pelbagai komplikasi setelah umurnya setahun kerana kesan rawatan menyebabkannya tidak mampu membesar dengan sihat.
"Sepanjang 20 tahun terlantar, dia hanya makan nestum dan minum susu Fernleaf semata-mata yang diberi setiap dua jam. Apabila kami cuba buat bubur nasi atau jus buah, dia tak mahu telan sehingga meleleh di tepi bibir.
"Shamrin juga sentiasa perlu dipakai dengan lampin pakai buang bersaiz XXL oleh kerana mahu mendapatkan keselesaan akibat keadaan tulang belakang, kaki dan tangan yang melengkung dan mengeras," katanya.
Pekerjaan Rohyaha dan suami, Ahmad Omar, 62, sebagai nelayan tidak mampu menampung keperluan seharian membolehkan keluarga itu mendapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300.
Shamrin perlu diberi penjagaan rapi memandangkan dia berisiko terkena sawan tarik sekiranya kerap terdedah dengan cuaca panas.
Kembarnya, Shamil berkata, walaupun kasihan dengan keadaan abangnya, namun tiada apa yang boleh dilakukan selain membantu ibu menyuapkan makanan atau memandikan Shamrin apabila ada masa terluang.
Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga berkenaan,boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 02124-29-82823802-5.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sungai Deraka, Md Rashid Bakar berkata, maklumat keluarga berkenaan telahpun disenaraikan dan pernah menerima bantuan yang disumbangkan pihak tertentu kepada penduduk kampung sebelum ini.
Oleh : Siti Zubaidah Zakaraya
Sumber : Sinar