SEDUT PASIR HARAM



25sedut
ALOR SETAR 24 November - Penduduk Kampung Jawa di Sungai Petani dinasihatkan supaya tidak gelap mata hanya kerana mendapat habuan RM200 sebulan sehingga sanggup membiarkan aktiviti menyedut pasir haram berlaku di kawasan penempatan mereka sejak awal Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk membendung kegiatan haram tersebut yang boleh menjejaskan ekosistem di kawasan tersebut.
“Saya juga harap pihak jawatankuasa kemajuan dan ke­selamatan Kampung (JKKK) dapat mengambil perhatian perkara ini (aktiviti sedut pasir haram) kerana kos (kesan) yang ditanggung adalah lebih besar. Oleh itu, JKKK perlu laporkan jika ada aktiviti haram di kawasan mereka,” katanya dalam Program Sentuhan Kasih Bersama Anak Yatim dan Pelajar Miskin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aktiviti menyedut pasir haram di Kampung Jawa, Sungai Petani yang mendatangkan rasa tidak selesa penduduk selain kerosakkan kediaman.
Dalam program tersebut, seramai 80 pelajar SMK Padang Terap termasuk dua orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan pakaian sekolah sumbangan Lembaga Zakat Kedah, Badrul Hisham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang dan orang ramai.
Akhbar melaporkan beberapa keluarga yang tinggal di Kampung Jawa memohon ihsan pihak berkuasa bagi memantau ativiti menyedut pasir yang terletak hanya 150 meter dari rumah mereka sehingga mendatangkan rasa tidak selesa selain kerosakan terhadap kediaman yang dihuni sejak berpuluh tahun lalu.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham memberitahu, pihak­nya akan meminta pejabat tanah daerah di seluruh negeri untuk menggunakan dron bagi memantau aktiviti pencerobohan membabitkan aktiviti menyedut pasir haram.
“Pada mesyuarat Exco baru-baru ini, kita bersetuju meminta pejabat tanah daerah untuk melakukan pemeriksaan lebih kerap bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan bagi mengekang aktiviti pencerobohan (sedut pasir) ini.
“Kita mencadangkan mereka (penguat kuasa pejabat tanah da­erah) menggunakan dron bagi me­lakukan pemantauan bagi mengesan aktiviti haram tersebut. Pada masa sama, kita juga telah menaikkan kadar deposit bagi memastikan aktiviti korek pasir (berlesen) tidak akan menjejaskan ekosistem kawasan yang dibenarkan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Badrul Hisham berkata, pihaknya memutuskan untuk menghentikan sementara aktiviti mengorek pasir di Kulim bagi membolehkan kerja membaik pulih kawasan tebing sungai terlibat.
“Jabatan Pengairan dan Saliran mendapat peruntukkan sebanyak RM140,000 untuk melakukan kerja membaik pulih tersebut dan dijangka operasi itu akan dihentikan selama dua bulan. Selepas itu, kita akan kaji semula sama ada mahu membenarkan dua operator tersebut meneruskan aktiviti korek pasir tersebut atau tidak,” katanya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan