PERLU BIAYAI KOS PEMBEDAHAN ANAK




    29perlu
    ALOR SETAR 29 November - Nasib seorang wanita dari Kampung Rambai, Tokai, di sini bagaikan jatuh ditimpa tangga kerana bukan sahaja baru kehilangan suami tercinta, malah kini dia memerlukan wang untuk membiayai kos pembedahan anaknya.
    Difahamkan, ibu tunggal beranak enam, Nor Shamsaimah Md Salleh, 37, yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan kehilangan arwah suaminya akibat sakit jantung.
    Bagaimanapun keperitan hidup keluarga berkenaan mendapat perhatian beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Yayasan Salam dan Bridged Bakti Malaysia.
    Naib Presiden Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik (SMKTAM), Ahmad Fuad Ashari berkata, Shamsaimah memiliki enam anak berusia antara tiga hingga 19 tahun.
    “Sebelum ini, anak sulung melanjutkan pengajian dalam Jurusan Pengajian Islam di sebuah kolej di negeri ini, bagaimanapun mengambil keputusan berhenti.
    “Kami difahamkan anaknya terpaksa berbuat sedemikian kerana tidak mampu membayar yuran pengajian kolejnya. Kini, dia membantu ibunya berniaga nasi lemak secara online,” katanya.
    Menurutnya, Shamsaimah menyara kehidupan mereka anak beranak dengan menjalankan perniagaan nasi lemak di sebuah gerai di kediamannya.
    "Tapi dia perlu cara wang untuk menampung kos perubatan salah seorang anaknya yang berada di sekolah menengah akibat kecederaan di bahagian ligamen lutut," katanya.
    Sehubungan itu katanya, pihaknya segera menghulurkan bantuan apabila menerima maklumat berkenaan keluarga ini.
    "Kami telah menyumbangkan kelengkapan perniagaan seperti barangan dapur, termos dan periuk bagi merealisasikan impian dan meringankan beban ibu tunggal ini dan juga menjana pendapatan keluarga," katanya.
    Sumber : Sinar