MANGSA DERA SEMAKIN SEMBUH, TERSENYUM



29mangsa
SUNGAI PETANI 29 November - Kanak-kanak perempuan empat tahun yang disyaki didera ibu kandung dan teman lelakinya semakin pulih selain sudah mula membuka mata dan tersenyum.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kanak-kanak tersebut, Nureen Batrisyah Abd. Aziz masih perlu menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini bagi pemerhatian rapi doktor pakar.
“Alhamdulillah, doktor beri­tahu fizikalnya dalam keadaan baik dan saya tengok dia sudah mula pulih, cuma ada luka-luka sikit mungkin akibat dipijak oleh suspek yang menderanya,” katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak berkenaan di HSAH di sini semalam.
Yang hadir sama Exco kerajaan negeri, Datuk Suraya Yaacob dan Datuk Badrol Hisham Hashim; Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff dan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Mohammad Nazer Mustafa.
Ahmad Bashah berkata, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi kaunseling kepada mangsa dan juga nenek­nya kelak.
“Saya difahamkan nenek mangsa akan menjaganya selepas dibenarkan keluar hospital kelak,” katanya.
Khamis lalu, mayat seorang budak lelaki dua tahun ditemukan dalam keadaan menyayat hati apabila dibalut dengan selimut dan disimpan dalam tong ikan di sebuah rumah di Flat Paya Nahu.
Kakak mangsa turut cedera disyaki didera oleh ibu kandung dan teman lelakinya yang menghuni flat berkenaan.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan ibu kanak-kanak itu berusaha 26 tahun disyaki terlibat mendera mereka.
Oleh : Abd Razak Osman
Sumber : Utusan