PACU POTENSI INDUSTRI




    14pacu
    ALOR SETAR 13 November - Kerajaan negeri hari ini membentangkan Bajet Nege­ri Kedah 2017 berjumlah RM1.06 bilion dengan merangka empat strategi berteraskan tema Muafa­kat Memacu Ekonomi, Mendaya Potensi Negeri.
    Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah memberitahu, pihaknya menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM734.72 juta bagi tahun depan yang menyaksikan pe­nyumbang terbesar daripada hasil cukai dengan anggaran RM472.87 iaitu 64.36 peratus di sam­ping terimaan bukan hasil dijangka sebanyak RM188.93 juta dan hasil bukan cukai RM72.91 juta.
    Katanya, empat strategi khusus digubal iaitu meningkatkan perolehan serta perbelanjaan hasil secara cekap berhemah, menambah nilai selain meneroka potensi ekonomi baharu, mencergas aktiviti rakyat dan menangani isu kebajikan rak­yat berbilang kaum melalui langkah betul.
    “Mengambil kira indikator eko­nomi semasa, peruntukan perbe­lanjaan mengurus untuk tahun depan adalah sebanyak RM810.32 juta manakala RM256.43 juta lagi untuk perbelanjaan pembangunan termasuk RM188 juta untuk projek pembangunan bekalan air.
    “Dengan mengambil kira unjuran hasil dan perbelanjaan, Bajet 2017 mencatat defisit sebanyak RM75.5 juta atau 10.27 peratus berbanding tahun sebelumnya berjumlah RM107.88 juta. Bermakna untuk Bajet 2017, defisit berjaya dikurangkan sebanyak 4.63 peratus,” katanya ketika membentang Bajet 2017 dalam Sidang Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) di sini hari ini.
    Ahmad Bashah memberitahu, Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pinjaman bagi baki pembayaran tertangguh projek pembangunan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Kuin) berjumlah RM266 juta dengan tempoh bayaran balik selama 20 tahun.
    “Menerusi kaedah ini, tanggu­ngan kerajaan negeri bagi bayaran pinjaman Kuin dapat diturunkan daripada RM44.5 juta kepada RM19.6 juta setahun,” ujarnya.
    Dalam usaha menyediakan infrastruktur bagi meningkatkan ke­­­mudahan rakyat malah dapat membantu menjana kegiatan eko­nomi setempat, katanya, sebanyak RM91 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut.
    Katanya, antara projek infrastruktur terlibat adalah menaik­taraf jalan dan jambatan (RM25 juta), pemulihan kerosakkan akibat banjir (RM8 juta), naik taraf, pembinaan ruang niaga baharu di kawasan pihak berkuasa tempatan (RM8.17 juta) dan pembinaan skim perumahan mampu milik dan pengambilan tanah berjumlah RM4 juta.
    “Secara keseluruhan anggaran peruntukan pembangunan bagi sektor pentadbiran, sukan dan lain-lain dikhususkan sebanyak RM87.69 juta. Antaranya, seba­nyak RM12.42 juta diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan dan prasarana sukan termasuk kerja menaik taraf Stadium Darul Aman, Pusat Akuatik Gunung Keriang dan Kompleks Sukan Hijau Kuning.
    “Selaku kerajaan yang bertanggungjawab dengan penekanan tra­disi membela rakyat, sebanyak RM24.9 juta diperuntukkan untuk program kebajikan sosial seperti basmi kemiskinan, pembangunan masyarakat dan sosial, penempatan penduduk, perhubungan ka­um, sosial menerusi pejabat daerah, masjid dan program kesedaran alam sekitar dan komuniti.
    “Bajet 2017 turut memperuntukkan RM26.8 juta untuk pembangunan sektor pendidikan dan teknologi maklumat serta RM14.5 juta bagi pembangunan sektor pertanian, ternakan dan industri asas tani,” katanya.
    Tambahnya, kerajaan nege­ri memperuntukkan sebanyak RM3.04 juta bagi pembayaran khas sebanyak RM500 kepada 6,090 penjawat awam negeri pada Di­sember depan.
    Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
    Sumber : Utusan