2,000 DAPAT PETROL PERCUMA



5dapat
SUNGAI PETANI 4 November - Lebih 2,000 penunggang mo­tosikal mengerumuni se­buah stesyen minyak di Tikam Batu di sini seawal pukul 6 pagi bagi mendapatkan petrol percuma hasil kemurahan hati seorang dermawan, Abd. Ghani Haron, 60.
Menurut bekas Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Muda itu yang lebih mesra dipanggil Cikgu Ghani, dia mula menghebahkan mengenai Projek Sedekah Jariah itu di Facebook miliknya semalam.
“Dalam status itu, saya menyatakan akan mengisi petrol secara percuma untuk motosikal bermula pukul 6.30 pagi sehingga pukul 10 pagi. Tanpa disangka, apabila saya sampai di stesyen minyak itu pada pukul 6.15 pagi, orang ramai sudah mula beratur.
“Difahamkan ada juga dalam kalangan mereka yang datang dari Pulau Pinang. Keseluruhannya saya mengisi minyak untuk lebih 2,000 motosikal dengan kos RM5,913,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abd. Ghani sememangnya dikenali penduduk tempatan sebagai seorang yang suka menderma me­­nerusi pelbagai aktiviti yang dikelolanya sendiri seperti pemberian makanan dan kerusi roda kepada individu memerlukan.
Beliau yang kini mengusahakan perniagaan katering turut berhasrat menjadikan program itu sebagai aktiviti bulanan.
“Saya lakukan semua ini demi membantu golongan kurang ber­kemampuan. Dana yang di­pe­roleh selama ini adalah hasil sokongan daripada kenalan di media sosial Facebook serta apli­kasi Whatsapp.
“Pada masa depan, lokasinya mungkin akan lebih tertumpu di kawasan kampung. Saya melakukan ini bukan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya ikhlas demi membantu golongan kurang ber­ke­mampuan,” katanya yang turut mengalu-alukan penyertaan lebih ramai individu untuk bersamanya melakukan kebajikan.
Dari segi dana, katanya, beliau mendapat sokongan kuat daripada kenalan menerusi media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp, dan mengalu-alukan jika ada yang mahu menyumbang.
Bergelar pendidik selama 29 tahun, Abd. Ghani berkata, usaha yang dimulakannya itu diharap akan memberi semangat dan galakan untuk individu lain turut sama membantu sambil beramal.
“Kita ada teknologi, kenapa tidak digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan, sedekah secara berjemaah lebih besar impaknya dan sesiapa yang mahu menghulurkan sumbangan boleh masukkan ke dalam akaun Maybank 5574 1051 5106,” kata­nya.
Oleh : Abd. Razak Osman
Sumber : Utusan