USAHA BANTERAS DADAH



28usaha
LANGKAWI 28 September - Walau pelbagai usaha pembanterasan najis dadah dilakukan, namun masalah ini seolah-olah sukar dibendung.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Mohd Hanifah berkata, semua pihak sama ada NGO, pemimpin masyarakat  dan agensi kerajaan perlu melipatgandakan usaha dengan lebih berkesan.
"Saya meneliti masalah ini dan akan turut bersama membantu memastikan masyarakat kita bebas dadah,"  katanya, ketika merasmikan Mesyuarat Agong Pemadam Kebangsaan di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri.
"Tangkapan di lapangan terbang dan sempadan kerap dipaparkan dalam media, namun nampaknya masih ramai lagi yang terbabit dalam masalah penagihan," tambahnya.
"Kalau ini berterusan berlaku negara akan kehilangan tenaga muda yang sepatutnya menyumbang tenaga untuk kemajuan negara.
"Dadah termasuk ketagihan ketum telah menular hingga merosakkan pelajar sekolah. Negara akan rugi kerana masalah ini telah menular kepada pelajar sekolah. Dadah bukan soal politik atau agama. Tapi melangkaui semua kerana ia menghancurkan ketamadunan bangsa,"ujarnya.
Terdahulu Yang Dipertua Pemadam, Datuk Seri Johari Baharom mengakui kecewa sikap sesetengah pihak yang hanya menanding menyalahkan Pemadam.
"Kita pertubuhan sukarela yang mempunyai sumber kewangan yang terhad. Kenapa nak salahkan Pemadam? Sepatutnya kita berganding bahu melawan masalah ini,"ujarnya yang juga Timbalan Menteri Pertahanan.