SIKAP AMBIL LEWA PUNCA KEBAKARAN



ALOR SETAR 28 September - Sikap sambil lewa pemilik premis menyelenggara sistem keselamatan kebakaran menjadi punca kes kebakaran sukar dibendung.Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata pihaknya merekodkan purata 6,000 kes kebakaran premis setiap tahun di seluruh negara, kebanyakannya berpunca daripada kegagalan pemilik premis menyelenggara sistem kebakaran.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 60 peratus adalah premis komersial seperti kilang, pejabat, rumah kedai dan sekolah manakala 40 peratus lagi adalah kediaman.
"Melalui kajian, ada sesetengah pemilik premis gagal menyelenggara sistem sedia ada hingga apabila kebakaran berlaku, ia gagal berfungsi dan menyukarkan kerja memadam.
"Apabila sesebuah premis dibina, pemiliknya perlu mematuhi Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 kecuali kediaman. Bagaimanapun selepas premis diduduki, pemilik bersikap sambil lewa terhadap aspek penyelenggaraan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran 2016 peringkat Kedah, di sini, hari ini.
Seramai 420 peserta dari pelbagai agensi menyertai seminar berkenaan bagi mendapatkan penerangan dan perkongsian mengenai keselamatan kebakaran.