HARAPAN SETINGGI GUNUNG



25harapan
ALOR SETAR 24 Oktober - Selepas dikecewakan oleh Selangor dalam final tahun lalu, penyokong Lang Merah meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat Piala Malaysia kembali ke Kedah sejak kali terakhir mendakapnya, lapan tahun lalu.
Jika pemain dan skuad Lang Merah menjalankan tanggungjawab mereka dengan melakukan latihan terbaik menjelang perlawanan akhir Ahad ini, penyokong pula berjanji akan memainkan peranan sebagai pemain ke ‘12’ dengan datang beramai-ramai ke Shah Alam untuk menunjukkan sokongan.
Seorang penyokong tegar Lang Merah, Azlina Mansor berkata, dia dan keluarganya akan menyertai ribuan penyokong Kedah yang bakal membanjiri Stadium Shah Alam hujung minggu ini dan pastinya mengharapkan keputusan terbaik dibawa pulang oleh pasukan kesayangannya.
“Sebagai penyokong Lang Merah, saya sangat berharap Piala Malaysia berjaya dibawa pulang ke Kedah tahun ini.
“Saya yakin, pasukan mampu merealisasikan impian rakyat Kedah kerana prestasi yang konsisten dalam Liga Super mahupun Piala Malaysia pada musim ini.
“Untuk memberi sokongan kepada Lang Merah, saya bersama tujuh ahli keluarga akan mengikuti rombongan ke Stadium Shah Alam dari Langkawi dengan menaiki bas untuk menyaksikan perlawanan akhir,” kata Azlina, 36.
Seorang lagi penyokong Kedah, Mohd. Hafizi Abu Bakar, 26, optimis pasukan kesayangannya dapat menebus kekalahan 2-0 kepada Selangor musim lalu ekoran prestasi baik yang dipamerkan musim ini.
“Lang Merah perlu berjuang dan menyerang berhabis-habisan untuk memastikan Piala Malaysia dapat dibawa pulang ke negeri ini. Kami sebagai penyokong akan sentiasa bersama Kedah,” katanya.
“Pulun Kedah Pulun... Itu kata-kata semangat yang mahu saya sampaikan kepada pasukan Kedah.
“Saya yakin Lang Merah mempunyai peluang untuk membawa balik Piala Malaysia ke Kedah, namun kita tidak boleh memandang rendah kekuatan Selangor.
“Paling penting, diharapkan pasukan Kedah tidak mengulangi kesilapan lalu dengan memberi peluang kepada Selangor untuk membuat jaringan awal. Bagaimanapun, saya pasti jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe sudah merangka ramuan terbaik untuk membolehkan Lang Merah meraih kemenangan,” kata seorang lagi penyokong, Noor Azman Jadi.
Walaupun ramai yang melihat skuad Red Giants memiliki kelebihan untuk merangkul Piala Malaysia buat kali ke-34 berdasarkan rekod kemenangan tahun lalu dan faktor bahawa mereka akan bermain di gelanggang sendiri, namun hakikatnya Lang Merah memegang rekod pertemuan yang lebih baik musim ini.
Anak-anak buah Tan Cheng Hoe mengalahkan Selangor 1-0 dalam aksi terakhir Liga Super di Alor Setar pada 6 Ogos lalu.
Terdahulu, mereka mengikat skuad Merah Kuning 2-2 di Shah Alam pada 5 April.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan