ZAKAT SIK LULUSKAN BANTUAN



16zakat
SIK 16 Ogos - Pejabat Zakat Cawangan Sik meluluskan permohonan Bantuan Awal Institut Pengajian Tinggi (IPT) kepada Noor Hidayah Abdullah, 20, iaitu bakal penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) setelah kisahnya menjadi viral dalam aplikasi WhatsApp beberapa hari lalu.
Menerusi viral tersebut, Noor Hidayah Abdullah dikehendaki mendaftar di UPSI pada 29 Ogos ini, namun faktor kemiskinan dan masalah kewangan menghalang niat untuk menyambung pengajian.
Pengurus Pejabat Zakat Cawangan Sik , Mohd Khairul Nizam Abd Aziz berkata, bantuan awal IPT bagi membantu pelajar itu telah diluluskan oleh pihaknya.
Menurutnya, bantuan berjumlah RM 1,500 akan dikreditkan ke akaun pelajar tersebut.
“Sebelum kisahnya itu menjadi viral, pelajar itu ada datang ke pejabat zakat dan bantuan sememangnya akan diberikan,” katanya ketika dihubungi , semalam.
Mohd Khairul Nizam berkata, pejabat zakat tidak akan sesekali mengabaikan pelajar yang memerlukan dan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT.
“Setiap permohonan yang cukup syarat akan menerima bantuan. Bantuan yang disediakan adalah dari peringkat sijil, diploma, ijazah, ijazah sarjana muda dan ijazah kedoktoran.
“ Orang ramai boleh akses borang permohonan dari laman web di http/www.zakatkedah.com ,” katanya.
Dalam pada itu, nasib seorang lagi pelajar kurang berkemampuan turut mendapat perhatian Pejabat Zakat Cawangan Sik.
Nor Azila Osman ,20, ketiadaan ibu bapa dan kini dijaga abangnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dilaporkan turut mengalami masalah kesempitan wang untuk yuran pendaftaran bagi kemasukan hujung Ogos ini.
Beliau berkata, pelajar berkenaan akan diberikan bantuan penuh memandangkan keluarganya kurang berkemampuan.
“Ini adalah kes istimewa dan pelajar ini akan serahkan sendiri surat waran ini kepada pihak universiti.
“Pihak universiti akan membuat tuntutan yuran kepada Lembaga Zakat Kedah tidak melebihi RM 2,500,” katanya.
Tambahnya, mana-mana pelajar yang tidak mampu membayar yuran boleh hubungi pejabat zakat terdekat di mana skim bantuan untuk pelajar yang memerlukan bantuan disediakan kepada yang memerlukan.
Sumber : Sinar