FASA PERTAMA PROJEK TANAMAN GUARANA



16fasa
ALOR SETAR, 16 Ogos - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan sejumlah 100,000 hektar tanah dalam fasa pertama projek tanaman guarana yang dijangka bermula akhir tahun ini.
Pengerusinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pihaknya telah mengenal pasti kawasan yang sesuai di seluruh negara iaitu melibatkan tanah dalam proses tanaman semula pokok getah atau kelapa sawit.
Beliau berkata tanaman yang diimport dari Brazil itu tidak menggangu tanaman lain dan hanya memerlukan tempoh enam bulan sebelum dapat dituai.
"Pekebun kecil akan memperoleh pendapatan antara RM200 hingga RM300 bagi sekilogram buah guarana berbanding harga getah iaitu RM2.20 sekilogram, ia amat menguntungkan pekebun kecil," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama pemaju masyarakat dan pegawai seranta RISDA peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.
Katanya pokok berkenaan juga sesuai ditanam dalam keadaan cuaca di negara ini hasil percubaan di tapak semaian milik RISDA di Pulau Pinang sebelum ini.
"RISDA akan cari tanaman yang boleh dipasarkan untuk bantu pekebun kecil, sebelum ini kita pernah menanam pelbagai tanaman lain yang akhirnya gagal untuk dipasarkan," katanya.
Sementara itu, Zahidi berkata RISDA sedang berbincang dengan beberapa kementerian bagi mendapatkan lesen untuk mengimport barangan keperluan asas dalam usaha membantu mengurangkan kos sara hidup pekebun kecil RISDA, ekoran harga getah yang tidak menentu.
Beliau berkata pekebun kecil kemudian boleh membeli barangan seperti beras, gula, tepung dan minyak masak pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.
"Mereka yang mempunyai kad pekebun kecil RISDA sahaja yang layak untuk mendapatkan barangan tersebut dan kita sedang berbincang dengan pelbagai pihak bagi merealisasikan perkara ini," katanya.
Beliau berkata kira-kira 1.2 juta keluarga pekebun kecil RISDA akan mendapat manfaat daripada program tersebut sekali gus mampu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Sumber : Bernama