Rayu Jalan Rosak diturap Semula


19rayu

ALOR SETAR 19 Ogos - Sekumpulan penduduk Taman Mustika, Hutan Kampung, mendakwa laluan rosak di sini disebabkan jentera berat yang melalui kawasan kediaman mereka.

Penduduk, Rahmah Ismail, 52, berkata, beberapa jentera berat menggunakan jalan Lorong 3 seolah-olah laluan utama untuk mereka ke tapak pembinaan.

Menurutnya, sejak dua tahun kebelakangan ini, kerosakan laluan semakin serius kerana ada bahagian tertentu jalan berlubang dan berlopak, sehingga memberi kesan kepada penduduk setempat.

“Baru-baru ini, penduduk berdepan kesulitan meletakkan kerusi dan meja untuk mengadakan sebuah majlis memandangkan jalan tidak sekata dan terpaksa menambun tanah," katanya.

Menurutnya lagi, keadaan bertambah teruk apabila hujan apabila takungan air dalam lopak mengotorkan kawasan kediaman penduduk.

Sementara itu, Radzi Baharum, 53, berkata, kebanyakan penduduk susah hati kerana masalah ini berpanjangan malah menimbulkan ketidakselesaan pada penduduk.

“Bukan hanya tidak selesa, penduduk perlu berhati-hati untuk mengelak lubang dan keadaan jalan berlopak menyakitkan mata memandang,” katanya.

Malah, kata Radzi lagi, dia berharap papan tanda larangan dipasang untuk mengelak jentera berat lebih tiga tan menggunakan jalan bagi mengelakkan masalah berterusan.

Menurutnya, penduduk memohon tindakan sewajar diambil kerana bimbang jikalau dibiarkan, keadaan laluan kian teruk sehingga merebak ke bahagian lain.

Ahmad Zaki Ayob, 50, berkata, mereka bimbang risiko keselamatan anak-anak yang kemungkinan tercedera ketika menggunakan laluan berkenaan.

Menurutnya, penduduk mengharapkan keprihatinan pihak bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk hampir dua tahun.

Untuk itu, menurut Zaki, dia merayu pihak bertanggungjawab agar menurap laluan ini bagi keselamatan dan keselesaan penduduk.

Oleh : Nurul Hidayah Hamid

Sumber : Sinar