KEPERLUAN KORBAN DITINGKAT



20ogos
ALOR SETAR 19 Ogos - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memaksimumkan bekalan lembu dan kambing tempatan bagi memenuhi keperluan umat Islam sempena perayaan Aidil-adha bulan depan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, langkah itu sebagai usa­ha untuk mengurangkan risiko kenaikan harga lembu dan kam­bing import disebabkan kadar pertukaran mata wang yang tidak menentu pada masa ini.
“Masalah bekalan tidak perlu dibimbangkan kerana kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa memastikannya mencukupi untuk kegunaan harian mahupun pada musim perayaan,” katanya selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Kuala Kedah di sini hari ini.
Menurutnya, kementerian juga pada masa sama akan memastikan penternak lembu dan kambing tempatan mampu memaksimumkan pengeluaran mereka bagi mengurangkan import.
Dalam majlis tersebut, seba­nyak 10 petani menerima geran jentera dan peralatan kecil seperti mesin rumput dan pam air bagi memudahkan golongan tersebut mengusahakan tanaman padi.
Penduduk Kampung Benua di sini turut menerima kemudahan lintasan ladang yang kos pembinaan berjumlah RM128,303.
Menurut Tajuddin, pihaknya bagaimanapun bersedia mening­katkan jumlah lembu dan kam­bing import sekiranya bekalan haiwan ternakan tempatan masih tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan musim perayaan ini.
“Untuk memastikan tiada masalah dalam menyediakan bekalan, kita bersedia mening­katkan jumlah import kepada 70 hingga 80 peratus berban­ding 60 peratus pada masa ini. Bagaimana­pun selepas musim perayaan, kita akan turunkan semula kadar itu,” ujarnya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan