BANGUN SEMULA PROJEK TERBENGKALAI



1bangun
ALOR SETAR 1 Mei - Pemaju perumahan ditawarkan untuk membangunkan semula projek perumahan yang terbengkalai sejak tujuh tahun lalu, bawah Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome), dalam usaha menambah pemilikan rumah kalangan rakyat Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pemaju boleh membuat permohonan di Bahagian Perumahan dan majlis daerah terlibat untuk mengusahakan 1,922 unit rumah bawah projek perumahan terbengkalai di seluruh daerah.
“Kerajaan negeri bersetuju berikan tapak projek perumahan itu kepada pemaju untuk bina MyHome 1 dan MyHome 2, dengan menawarkan insentif RM30,000 sebagai bayaran pendahuluan. Harga ditawarkan kepada pembeli juga berpatutan, MyHome 1 dengan kos RM90,000 manakala RM190,000 untuk MyHome 2,” katanya selepas merasmikan Ekspo Hartanah dan Perumahan 2016, semalam.
Menurutnya, ini antara usaha kerajaan negeri menyelesaikan tapak-tapak terbengkalai dan pada masa sama menawarkan perumahan kepada rakyat.
“Pemaju perlu bina banyak rumah mampu milik dengan ambil kira kemampuan rakyat Kedah untuk beli rumah, bukan tawarkan harga seperti di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata, harga rumah mampu milik perlu tepati kriteria ditetapkan, iaitu bagi Kedah tidak boleh melebihi RM45,000 untuk kos rendah, RM90,000 (sederhana rendah) serta RM200,000 (kos sederhana).
“Bina rumah bertingkat untuk maksimumkan penggunaan tanah kerana tanah di Kedah semakin terhad. Jika dibina rumah bertingkat, harga dapat dikurangkan kerana lebih banyak unit ditawarkan,” katanya.
Sumber : Sinar