500 TERIMA BANTUAN BARAKAH



16terima
BANDAR BAHARU 16 April - Seramai 500 penoreh dan golongan kurang berkemampuan bakal menerima Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) yang dilancarkan menteri besar bagi meringankan beban golongan tersebut.
Adun Bandar Baharu, Datuk Noorsabrina Mohd Nor berkata, seramai 90 orang sudah menerima barangan keperluan makanan dan wang tunai dalam jelajah Barakah bagi fasa pertama di Mukim Sungai Batu.
“Kita faham keadaan penoreh ketika ini begitu tertekan kerana harga getah yang begitu merudum, ada yang dapat RM15 hingga RM20 dalam sehari, tapi bukan 30 hari mereka boleh menoreh.
“Di kawasan Mukim Sungai Batu ini ramai yang menoreh getah sebagai sumber pendapatan. Kita harap dengan bantuan sebegini sedikit sebanyak dapat tolong mereka,” katanya pada sidang media program Jelajah Barakah di Kampung Kenangan, Mukim Sungai Batu, semalam.
Menurutnya, jelajah Barakah ini juga bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan malah dapat mendekati dan mengenal pasti masalah dihadapi mereka untuk diselesaikan melalui rancangan yang akan disusun kerajaan kelak.
“Kita akan kutip maklumat dan salurkan kepada kerajaan untuk merangka skim atau bantuan yang boleh diberikan kepada rakyat untuk basmi kemiskinan dengan tindakan segera, jangka panjang dan pendek.
“Barakah ini dilakukan secara menyeluruh dari semasa ke semasa kepada rakyat yang layak,” katanya.
Penoreh getah, Mahidzir Mohd Yatim, 48, berkata, dengan pendapatan yang begitu kecil pada masa ini, dia sememangnya memerlukan bantuan tambahan daripada kerajaan untuk meringankan beban.
"Kadang bila menoreh pokok orang, sekali kutip sekerap dapat RM80, itupun kena bahagi dua dan dapatlah RM40 dalam tempoh tiga hari. Memang tak cukup tapi kena juga menoreh.
"Dengan bantuan diberi kerajaan ini, sedikit sebanyak dapat juga ringankan beban tapi kami harap harga getah dapat dinaikkan lagi," katanya.
Rokiah Wahid, 62, pula berkata, dia terpaksa juga menoreh getah walaupun umur makin meningkat kerana tiada sumber pendapatan lain.
"Anak-anak ada bagi duit tapi saya tak mahu susahkan mereka. Lagipun suami saya dah tak ada.
“Saya berterima kasih atas sumbangan kerajaan kepada kami yang susah,” katanya.
Sumber : Sinar