DR FAKHRUDDIN DILANTIK REKTOR KUIN



21r
ALOR SETAR 21 Febuari - Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Mesir (WAAGM), Profesor Datuk Dr Fakhruddin Abdul Mukti dilantik sebagai Rektor Kolej Universiti Insaniah (Kuin) berkuatkuasa 16 Februari.
Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Profesor Datuk Mohd Yusof Kasim yang tamat perkhidmatan September lalu.
Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, Dr Fakhruddin dilantik sebagai Rektor Kuin yang ke-4 bagi tempoh dua tahun dan menyifatkan pemilihan beliau amat bertepatan berikutan mempunyai latar belakang pengajian Islam dan fasih berbahasa Arab.
“Beliau merupakan lulusan Universiti Al-Azhar selain pernah menjadi Duta Malaysia di Mesir sewaktu negara Timur Tengah itu dilanda Arab Spring dan perang saudara, dan juga bekas pensyarah Universiti Malaya (UM),” katanya.
Menurutnya, anak jati Kedah ini merupakan cucu kepada ulama tersohor di Gajah Mati, Pendang dikenali Pak Chu Him atau nama sebenarnya, Tuan Guru Haji Wan Ibrahim Wan Abdul Qader.
Tajul Urus berkata, Dr Fakhruddin mempunyai hubungan baik dengan Universiti Al-Azhar dan kelebihan itu akan dimanfaatkan dalam memantapkan bidang pengajian Islam di Kuin.
“Saya harap bawah pengurusan beliau kelak, Kuin mampu muncul sebagai pusat pengajian Islam tersohor, selain dapat fokus dalam bidang pengajian Islam seperti Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab,” katanya.
Menurutnya, beliau juga antara individu yang mengatur pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas satu pentas, Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, di Kuala Lumpur, Disember lalu.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi menyifatkan pelantikan Dr Fakhruddin mampu memantapkan kecemerlangan pendidikan Islam di Kedah.
Sumber : Sinar